Site icon Sabah Baru News

Kepelbagaian pemangkin membina masyarakat bertamadun: Jeffrey

KOTA KINABALU: Sabah merupakan sebuah wilayah yang unik kerana bukan sahaja terdiri daripada pelbagai kepercayaan, kebudayaan serta keturunan malah mampu hidup dalam suasana aman dan sejahtera.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata kepelbagaian yang ada juga turut menjadi pemangkin berharga kearah membina kelompok masyarakat yang bertamadun dan berinovasi selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri.


Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri MAFFI yang diadakan di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, kelmarin.

Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Hendrius Anding; Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Peto Galim; Setiausaha Tetap Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Robert Stidi dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah, Dr Normah Yusop.


Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri MAFFI, Jeffrey menyifatkan ia sebagai peluang terbaik untuk mengerat dan merapatkan lagi tali persaudaraan, membuka ruang interaksi dan komunikasi, disamping menikmati pelbagai juadah yang telah disediakan.


“Untuk menjadi sebuah organisasi yang terbilang, kunci utama ialah kerjasama dan bersatu tidak kira pangkat, bangsa, agama dan fahaman politik.


“Komitmen yang padu dari semua pihak yang tidak mengira bangsa akan dapat menjadi penggerak bagi mempercepatkan kejayaan ekonomi para pekebun kecil, pengusaha penternakan dan para petani secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga MAFFI, jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawah seliaannya atas kerjasama dan peranan menjadikan MAFFI sebuah kementerian yang cemerlang dalam menerajui kemajuan pekebun kecil, pengusaha penternakan, para petani dan nelayan.


“Sumbangan dan pencapaian MAFFI dan jabatan serta agensi dalam bidang ini termasuk dalam pembangunan tanam semula dan keusahawanan telah memberi manfaat yang besar kepada kesejahteraan rakyat, ” katanya.


Justeru beliau berharap segala usaha dapat dipergiatkan lagi bagi meningkatkan ekonomi khususnya dalam bidang pertanian, perikanan dan industri makanan bagi mencapai kejayaan yang lebih besar di masa-masa akan datang.


“Ianya penting untuk mencapai matlamat dan aspirasi menjadikan Sabah sebuah wilayah yang maju, progresif, berdaya saing dan berpendapatan tinggi, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version