Site icon Sabah Baru News

Status quo penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di Sabah dan Sarawak kekal – Ewon

PENAMPANG: Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dibolehkan menggunakan kalimah Allah dalam doa agama mereka seperti ‘status quo’ sedia ada sebelum ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata jika membabitkan bahan penerbitan, ‘status quo’ sebelum ini juga diguna pakai iaitu mesti dicop ‘For Christian Only’ (Untuk Kristian Sahaja).


Beliau berkata, perkara itu dipersetujui Kabinet pada mesyuarat mingguan Rabu lalu selepas dibincang panjang lebar dan mendengar pandangan semua menteri Kabinet Persekutuan berhubung isu kalimah Allah.


“Isu kalimah Allah dibincang panjang lebar dalam mesyuarat jemaah menteri dua hari lalu dan saya juga mengambil bahagian menyuarakan pandangan dan penelitian saya terhadap isu ini.


“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka ruang kepada semua menteri untuk memberi pandangan dan keputusannya ‘status quo’ iaitu penganut Kristian di Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah Allah dalam doa mereka dan jika membabitkan penerbitan, ia perlu dicop dengan ‘For Christian Only’.


“Itulah dasar sedia ada yang kita persetujui diteruskan semula. Kabinet memutuskan kita menghormati Islam sebagai agama rasmi negara kita, tapi agama lain bebas diamalkan dengan aman damai,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Bank Rakyat kepada sekolah dalam Parlimen Penampang, di sini, kelmarin.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang mengulas mengenai isu kalimah Allah yang sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi dan pandangan daripada pelbagai pihak.


Katanya, keputusan yang dibuat Kabinet itu adalah berdasarkan ‘status quo’ berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.


Sementara itu, dalam hal lain, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), berkata keputusan kerajaan Persekutuan menetapkan kadar tambang penerbangan tidak melebihi RM300 sehala kepada warga Sabah dan Sarawak pada musim perayaan, khususnya menjelang sambutan Kaamatan dan Hari Gawai pada akhir bulan ini dan awal bulan depan adalah sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.


“Selama ini saya ditegur dalam media sosial berkaitan manifesto dan lain-lain. Sebenarnya Kabinet sudah memutuskan tetapi biarlah Menteri Pengangkutan yang mengumumkan.


“Kerajaan menyediakan subsidi kepada rakyat Sabah dan Sarawak untuk balik sempena Kaamatan dan Gawai dengan menetapkan harga siling tiket penerbangan RM300 tetapi ini terhad untuk kira-kira 17,000 tempat duduk.


“Ini sesuai dengan manifesto kita untuk menurunkan harga tiket penerbangan kerana kita tahu ada masa tertentu tiket turun hingga paras yang rendah manakala menjelang perayaan syarikat menawarkan harga lebih besar.


“Sebab itu Kabinet bincang kerana di Semenanjung ada tol percuma dan itu dibiayai oleh kerajaan tapi Sabah dan Sarawak tiada tol, jadi kita tidak menikmati pembiayaan kerajaan untuk tol percuma itu,” katanya.


Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan subsidi tiket penerbangan bagi Kaamatan dan Hari Gawai yang menawarkan harga tiket sehala tidak melebihi RM300 ke Sabah dan Sarawak mulai esok.

— IZWAN ABDULLAH

Exit mobile version