Syarikat itu akan terus mengkaji semula struktur kosnya berdasarkan situasi ekonomi semasa dan permintaan terhadap makanan segera. – Bernama
SUBANG: McDonald’s Malaysia tidak bercadang untuk menaikkan harganya dalam masa terdekat meskipun berdepan peningkatan kos bahan mentah dan cabaran inflasi.
Bagaimanapun, syarikat itu akan terus mengkaji semula struktur kosnya berdasarkan situasi ekonomi semasa dan permintaan terhadap makanan segera, kata Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasarannya, Melati Abdul Hai.
“Perniagaan menerima impak kerana dolar AS telah meningkat, jadi kosnya lebih tinggi untuk kami, tetapi kami akan berusaha menanganinya. Namun begitu, kami tidak mempunyai rancangan (untuk menaikkan harga) buat masa ini.
“Bagi tahun depan, kami masih menyusun rancangan kami, jadi sukar untuk dikatakan,” katanya kepada Bernama selepas program media ‘Taste the Change With McDonald’s Iconic Burgers’ di sini, hari ini.
Melati berkata harga sajian McDonald’s telah meningkat tetapi pada tahap yang sangat minimum iaitu satu peratus atau lebih rendah kerana syarikat mengutamakan sentimen pengguna.
“Penting bagi kami untuk menawarkan nilai yang baik kepada pelanggan kami. Apabila mereka datang ke McDonald’s, mereka akan mendapat makanan yang sangat lazat yang disediakan secara bersih pada harga berpatutan,” katanya.
Menurutnya, McDonald’s Malaysia kini sedang melaksanakan pelan perniagaan lima tahun, Visi 2026, yang termasuk pembukaan 205 cawangan baharu menjelang 2026.
Ketika ini, syarikat itu memiliki lebih daripada 330 restoran dan menggaji lebih daripada 15,000 pekerja di seluruh negara. — BERNAMA
— AWANI