KOTA KINABALU: Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyuarakan sokongan kepada seorang peserta pertandingan Unduk Ngadau yang mendakwa difitnah oleh seorang pengguna Facebook.
Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie M. Idang turut menyokong tindakan yang dibuat oleh peserta yang telah membuat laporan polis dan juga hasratnya untuk memulakan tindakan saman fitnah di Mahkamah Anak Negeri.
“Saya amat prihatin dengan laporan baru- baru ini dalam sebuah akhbar tempatan mengenai kenyataan fitnah dibuat terhadap seorang peserta Unduk Ngadau tahun ini.
“Sungguh menyedihkan apabila ada individu atas sebab-sebab yang diketahui mereka memilih untuk memburukkan dan menghina peserta Unduk Ngadau yang mengambil bahagian dalam pemilihan.
“Saya difahamkan bahawa peserta tersebut telahpun membuat laporan polis dan berhasrat untuk memulakan tindakan saman fitnah di mahkamah anak negeri, dan saya menyokong keputusannya,” kata Emmie dalam satu kenyataan hari ini.
Dilaporkan Naib juara Unduk Ngadau Paitan 2023 telah membuat laporan polis, mendakwa seorang pengguna Facebook (FB) membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya sepanjang tempoh pertandingan minggu lalu.
Dewi Natasha Perumal Oddiar, 27, juruhebah radio Era Sabah berkata, komen yang dibuat pengguna itu telah membawa aib dan kekecewaan kepada keluarganya.
Emmie berkata, tiada siapa yang perlu menanggung kenyataan negatif sebegitu yang memfitnah tentang dirinya, keluarganya atau budayanya semata-mata kerana menyertai perayaan yang meraikan perpaduan kita sebagai anak jati Sabah.
“Tema tahun ini untuk pesta menuai adalah ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’ dan ia adalah penting untuk kita berpegang kepada tema ini.
“Kita harus berbangga dengan kepelbagaian budaya dan tradisi dan meraikannya bersama-sama dalam semangat perpaduan,” katanya, sambil menggesa semua peserta Unduk Ngadau agar tidak berkecil hati dengan kenyataan negatif seperti itu, sebaliknya berbangga menjadi anak jati Sabah.
“Marilah kita terus meraikan budaya dan tradisi kita,” kata Emmie.