BEAUFORT: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan menyokong penuh pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Ketua Bahagiannya, Mazlan Joehari Manan berkata, pada masa sama RUU itu juga harus dilaksanakan segera demi kestabilan politik Sabah yang merupakan asas kepada kemajuan negeri dan rakyat.
“Ia terpulang kepada kebijaksanaan ahli-ahli politik dan pimpinan kerajaan negeri Sabah untuk bila melaksanakan RUU Anti Lompat Parti ini di Dun.
“Bagaimanapun, bagi kami RUU ini perlu dilaksanakan sesegera mungkin kerana ia penting untuk kestabilan politik Sabah sekaligus memakmurkan pembangunan rakyat dan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Santai Aidilfitri Belia Bahagian Pedalaman Bawah di Arena Belia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Daerah Beaufort.
Hadir sama Setiausaha Tetap KBS, Datuk Mansur Asun; Penolong Pengarah AADK Sabah, Dg Siti Rohani Sedan; Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan, Diusline Alin.
Dilaporkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew dipetik sebagai berkata bahawa RUU untuk menghentikan lompat parti akan dibentangkan pada persidangan Dun Sabah pada 22-25 Mei ini.
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan mensasarkan penubuhan 30 cawangan parti itu pada tahun ini.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Skuad Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Beaufort, bagi merealisasikan usaha itu, pihaknya kini sedang giat menarik ramai masyarakat menyertai parti itu.
“Kita sudah mengedarkan borang keahlian Gagasan Rakyat dan mensasarkan penyertaan lebih 3,000 orang sekaligus merealisasikan penubuhan 30 cawangan sebelum penghujung tahun ini,” katanya.
— Kenneddy Corlleus