KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman bersama isteri Tengku Datin Adlina Marita Tengku Zainal Adlin menghadiri perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama penduduk di Mukim Lingkudau bertempat di Kampung Banjar Keningau baru-baru ini.
Mukim Lingkudau terdiri daripada sembilan buah kampung yang termasuk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan.
Menurut Annuar, sambutan perayaan ini sudah diadakan di kawasan perkampungan sejak tahun lalu bagi membolehkan penyertaan serta kehadiran semua penduduk termasuk kanak-kanak di kawasan berkenaan agar sama-sama dapat merasai suasana dan kemeriahan sambutan hari raya bersama penduduk kampung.
Sebelum ini program yang sama juga turut diadakan di kawasan Mukim Luagan yang melibatkan 12 buah kampung dimana Kampung Tudan Baru merupakan tuan rumah pada tahun ini.
Pelbagai aktiviti termasuk sukan, acara kebudayaan dan sebagainya dengan penyediaan hadiah menarik dijalankan disamping mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk terbabit.
— Kenneddy Corlleus