Site icon Sabah Baru News

Dua pegawai imigresen ditahan bantu siasatan kes seludup PATI

Khairul Dzaimee ketika hadir pada sidang media di Laluan Keluar Bas dan Lori di KSAB, Iskandar Puteri, semalam. – Gambar fail

ISKANDAR PUTERI: Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sindiket menyeludup pendatang tanpa izin yang disenarai hitam untuk kembali memasuki negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dua individu itu berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun dan bertugas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini.

Beliau berkata terdahulu JIM menumpaskan suatu sindiket menyeludup pendatang tanpa izin dikenali sebagai sindiket Ah Chong menerusi operasi di Larkin Sentral dan KSAB kira-kira 1.30 tengah hari Rabu. 

“Turut ditahan 25 pendatang tanpa izin warga Indonesia melibatkan 13 lelaki dan 12 wanita berserta dua tekong warga tempatan berusia 34 dan 49 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengangkut (transporter),” katanya pada sidang media di Laluan Keluar Bas dan Lori di KSAB pada Rabu..

Katanya sindiket itu disyaki aktif sejak sempadan antarabangsa Malaysia dibuka April lepas dengan menyasarkan pendatang tanpa izin yang disenarai hitam daripada memasuki negara ini.

Khairul Dzaimee berkata sindiket itu mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM8,000 seorang dan dianggarkan mereka telah membawa masuk sekurang-kurangnya 600 pendatang tanpa izin dengan mengaut keuntungan lebih RM2.5 juta.

“Dalam operasi ini kita berjaya menahan dua tekong dan 25 warga Indonesia yang memasuki negara ini melalui Singapura. Modus operandi sindiket ini adalah dengan membawa masuk pendatang tanpa izin melalui LinKedua, sebelum dua pegawai imigresen di KSAB yang terlibat melepaskan mereka tanpa sebarang pemeriksaan sebelum dibawa ke Larkin Sentral menggunakan bas.

“Di Larkin Sentral, terdapat satu bilik khas disediakan sindiket untuk memberikan cop palsu kepada pasport milik kesemua pendatang tanpa izin itu bagi mengaburi mata pihak penguasa dan selepas itu mereka akan dibawa menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata 25 warga Indonesia yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, manakala dua pegawai imigresen dan dua tekong warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran,” tambahnya. — BERNAMA

AWANI

Exit mobile version