Site icon Sabah Baru News

Hajiji Ganggu Tidur Saya Demi Rakyat – Anwar

KOTA KINABALU: Perdana Menteri menyatakan rasa kagum terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang tidak jemu membicarakan soal masalah infrastruktur rakyat Sabah tanpa mengira waktu meskipun ketika orang lain pada waktu itu sedang lena tidur.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia terbukti tengah malam tadi iaitu selepas tiba di Kota Kinabalu, beliau sendiri terpaksa meminta izin daripada Hajiji untuk tidur memandangkan Ketua Menteri itu masih mahu membincangkan soal masalah rakyat pada pukul 2 pagi.

Anwar berkata, Hajiji telah menunggu ketibaannya di lapangan terbang hanya untuk bercakap soal masalah rakyat dan itulah sikap seorang pemimpin yang perlu dicontohi kerana sangat prihatin kebajikan rakyat bukannya seperti sesetengah pemimpin yang hanya berjumpa untuk meminta projek demi keuntungan peribadi.

“Saya ucap terima kasih setinggi-tingginya kerana Ketua Menteri nampaknya sangat prihatin saya sampai 1.30 pagi dia masih bicara soal projek-projek rakyat, sampai saya kata Hajiji boleh saya pergi tidur sekarang.

“Inilah kita nak pemimpin-pemimpin, bukan pemimpin minta umpamanya jumpa saya dia kata ada projek untuk saya, ada tak saham untuk saya, tetapi saudara Hajiji ada tidak tambahan projek untuk rakyat Sabah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di KDCA hari ini.

Anwar berkata, ini bukan kali pertama Hajiji membangkitkan soal isu rakyat Sabah terhadapnya terutama berkaitan keperluan asas, justeru beliau berjanji akan membantu menyelesaikan perkara itu dengan segera.

Katanya, satu mesyuarat antara Persekutuan dan Kerajaan Sabah akan dilakukan esok untuk mencari jalan penyelesaian mutlak.

“Di antara isu besar ialah air dan jalan-jalan, maka saya telah buat keputusan esok pagi insya Allah saya akan adakan mesyuarat tertinggi Persekutuan dan negeri untuk selesaikan masalah air bersama dengan kerajaan negeri.

“Semua tahu peruntukan baiki jalan ditingkatkan dan peruntukan tertinggi memperbaiki jalan adalah untuk negeri Sabah. Kita telah minta tindakan segera bukan sahaja Pan Borneo yang patut diselesaikan tetapi juga jalan-jalan yang rosak sebahagiannya kita serahkan kepada kerajaan negeri, sebahagiannya ikut prosedur biasa kementerian” jelas beliau.

Sementara itu, Anwar berkata, Hajiji juga telah memberikan kerjasama yang baik sejak enam bulan beliau menjadi Perdana Menteri dalam soal memastikan hak-hak Sabah di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan.

“MA63 saya tidak bimbang lagi kerana keutamaan kita Kerajaan Perpaduan nak selesaikan masalah MA63 yang sejak berpuluh tahun, setiap kali saya datang ke Sabah tak habis-habis dengar masalah pelaksanaan MA63.

“Itu perjanjian yang dimeterai oleh bapa-bapa kemerdekaan kita, tanggungjawab generasi kita ialah melaksanakan janji itu dengan setia dan ikhlas, maka dalam tempoh enam bulan bersyukur kita kerana kerjasama Ketua Menteri bersama pasukan di negeri dan Persekutan hampir semua masalah itu telah selesai dengan baik,” tegas beliau.

— TAMAT

Exit mobile version