Site icon Sabah Baru News

Peruntukan tinggi untuk Sabah dan Sarawak berdasarkan keperluan – Anwar

KOTA KINABALU: Peruntukan tinggi kepada Sabah dan Sarawak terutama yang membabitkan belanjawan tahunan negara adalah berdasarkan keperluan kedua-dua negeri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau dikritik pembangkang kerana memberi peruntukan yang lebih kepada Sabah dan Sarawak berbanding negeri lain di Semenanjung namun menegaskan beliau berbuat demikian atas dasar mahu berlaku adil kepada semua negeri.


“Keadilan ertinya meletakkan sesuatu di tempatnya, bukan semestinya keadilan itu beri sama rata, bukan beri peruntukan RM1 bilion untuk Sabah kemudian beri RM1 bilion untuk negeri lain, kita beri berdasarkan apa yang diperlukan oleh negeri itu.


“Seperti isu bekalan air jadi masalah besar di Sabah, begitu juga jalan tetapi negeri lain lebih baik, jadi kita bantu belanja lebih di Sabah itu kerana keperluan,” katanya pada Majlis Temu Anwar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini semalam.


Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Yusof Apdal, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.


Ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Februari lepas, Anwar mengumumkan Sabah bakal menerima peruntukan RM6.5 bilion manakala Sarawak mendapat RM5.6 bilion.


Perdana Menteri berkata pada tahun ini, beliau membuat satu keputusan yang amat drastik iaitu mahu kemiskinan tegar di seluruh negara dinoktahkan, justeru Sabah memerlukan peruntukan tertinggi.


“Jadi, ada keperluan memberikan peruntukan yang tinggi bagi hapuskan kemiskinan tegar di Sabah, ini bukan kerana saya ini pro-Sabah tetapi ini kerana keperluan kita.


“Kita mahu pastikan keadilan untuk setiap rakyat tidak kira sama ada di Kedah, Perlis dan Sabah, itu pendirian saya,” katanya.
Beliau berkata dengan tatakelola yang baik, terutama melibatkan soal kewangan, ketirisan, pembaziran dan pengurusan negeri secara amnya mampu memajukan Sabah serta negeri lain di Malaysia.

— BERNAMA

Exit mobile version