PUTRAJAYA – Situasi ekonomi negara yang menjejaskan kelangsungan hidup rakyat harus ditangani dengan lebih telus dan pantas tanpa melengahkan masa.
Pengerusi Majlis Pemulihan negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan realiti getir ini diperlihatkan dalam peningkatan angka golongan jatuh miskin semenjak pandemik Covid-19 melanda dunia.
“Paling membimbangkan, lebih 600,000 isi rumah M40 telah jatuh kepada kategori miskin iaitu B40.
“Ramai terpaksa berdepan situasi yang sukar ekoran kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan dan penyusutan pendapatan.
“Miskin menjadi papa kedana, perniagaan terpaksa ditutup, produktiviti akan merosot yang akhirnya merencatkan proses pemulihan negara,” katanya ketika merasmikan Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Putrajaya, hari ini.
Menurut Muhyiddin, pemberian bantuan harus dipermudah dan diselaras dalam cadangannya untuk mewujudkan sistem bersepadu.
“Hampir semua agensi sediakan bantuan tapi masih ada individu atau kelompok yang tertinggal, pada masa sama ada pula menerima bantuan dari dua hingga tiga agensi berlainan.
“Sebuah sistem harus dibangunkan memudahkan proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat.
“Menintegrasikan semua data penerima yang layak dalam satu sistem jadi proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan disalurkan dengan telus, cekap dan cepat,” katanya.
Jelas Muhyiddin, mekanisma sebegitu berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial, mampu mengenal pasti rakyat yang memerlukan bantuan dan memberi bantuan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Sebagai contoh, Encik Abu mempunyai tiga orang anak serta isteri tidak bekerja, jika Abu diberhentikan kerja, sistem ini secara automatik dapat mengesan status beliau melalui notifikasi yang dicerak dari data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Ini melayakkan status Abu bagi mendapatkan bantuan jangka pendek bagi menampung perbelanjaan keluarga sehinggalah mendapat kerja baharu,” katanya.
Selain itu, data rentas agensi itu akan menyusun segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat Malaysia sejak lahir hinggalah akhir hayat.
“Meningkatkan momentum pemulihan negara pada satu tahap lebih tinggi, dapat memastikan tiada golongan terpinggir.
“Khususnya masyarakat pedalaman orang asal, pribumi Sabah dan Sarawak, sama- sama menikmati hasil kemakmuran negara seperti dihasratkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.