Site icon Sabah Baru News

Sikap berterus terang bukti keikhlasan Anwar: Kong

RANAU: Sikap berterus-terang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keperluan mendesak rakyat negeri ini khususnya isu gangguan bekalan air, elektrik dan kerosakan jalan membuktikan keikhlasan beliau menerajui kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Pemimpin Parti Solidariti Wiramuda Sabah Tanah Airku (StarSabah), Kong Soon Choi berkata, mustahil bagi seorang perdana menteri berani membangkitkan isu sebegitu besar secara terbuka jika tidak ikhlas dalam pentadbirannya.

“Keterbukaan beliau yang berani menyuarakan tiga isu mendesak ini membuktikan beliau sangat serius menangani isu yang melanda rakyat Sabah sejak sekian lama,” katanya.

Kong yang juga Pengerusi Persatuan Ko Nelayan Sabah berkata, Perdana Menteri adalah contoh terbaik sebagai pemimpin nombor satu negara kerana tidak menyembunyikan kelemahan pembangunan yang perlu ditangani segera.

Justeru, katanya, beliau yakin semua isu ini dapat diselesaikan walaupun mengambil masa untuk membolehkan rakyat Sabah menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Dalam lawatan rasmi Anwar ke beberapa lokasi di sekitar Penampang, Papar dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Rabu lalu, beliau secara terbuka menyatakan dalam ucapannya beberapa isu mendesak yang perlu diselesaikan segera termasuk bekalan air, elektrik dan kerosakan jalan. 

Dalam program Temu Anwar di Dewan Canselor UMS, Anwar secara berseloroh menyatakan kerosakan jalan raya di Sabah menyebabkan beliau kadangkala berasa seperti bukan menaiki kereta sebaliknya menaiki bot.

Dalam program itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM3 juta bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air di UMS.

Sementara itu pada Khamis, sejumlah RM320.25 juta turut diluluskan kepada Kerajaan Sabah sebagai bantuan mempercepatkan pelaksanaan pelan jangka pendek bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini.

–Clarence Dol

Exit mobile version