Site icon Sabah Baru News

Nilai perpaduan di kalangan penduduk jadi keutamaan – Abidin

Abidin merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Kg. Bitoon dan Kg. Tompios, di sini baru-baru ini.

RANAU: Kerajaan hari ini begitu mementingkan nilai perpaduan di kalangan penduduk walaupun wujudnya perbezaan bangsa, agama dan politik, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

“Kerajaan Malaysia Madani yang juga disebut ‘Kerajaan Perpaduan’ begitu mengutamakan kesatuan di kalangan rakyat berbilang latar belakangnya kerana inilah kunci utama bagi negara untuk terus maju ke hadapan.

“Pimpinan hari ini memandang betapa pentingnya unsur perpaduan ini kerana masyarakat yang berpecah belah tidak mampu melangkah bersama menuju kemakmuran yang dihasratkan.

“Justeru saya menyeru rakyat berbilang bangsa, fahaman agama dan intuisi politik untuk bersatu hati dalam membina negara yang lebih kukuh dan memberi keutamaan kepada cita-cita yang sama,” kata Abidin yang juga ADUN Paginatan semasa merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Kg. Bitoon dan Kg. Tompios, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, Pesta Kaamatan yang dirayakan setiap tahun begitu sinonim dengan nilai perpaduan dan harmoni yang sebenar kerana ia membuka ruang dan peluang kepada semua orang tanpa mengira fahaman dan latar belakang untuk sama-sama memeriahkan lagi sambutan ini.

Sementara itu, untuk penduduk di kawasan ini, Abidin turut menyampaikan kesyukurannya kepada Kerajaan hari ini kerana jalan raya berturap dan jambatan yang sedang dalam pembinaan Kg. Walou ke Kg. Panulangon.

Katanya, penduduk juga harus sama-sama bersyukur kerana aspek-aspek pembangunan tersebut yang juga melibatkan pembinaan jalan raya berturap daripada Kg. Bitoon ke Kg. Tinanom yang juga sedang dalam pembinaan.

“Justeru, saya menggesa semua penduduk kampung di kawasan ini untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini kerana ia merupakan platform terbaik bagi masyarakat di sini untuk terus menikmati pembangunan yang diimpikan.

“Ini yang kita mahukan, iaitu pimpinan sebuah kerajaan yang inklusif serta proaktif dalam memandang Keadaan sebenar para penduduk di seluruh pelusuk negara tanpa walau di mana sahaja mereka berada,” kata beliau.

Konsep Malaysia Madani ialah salah satu dasar kepemimpinan negara yang diusulkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilancarkan pada Januari tahun ini.

Abidin dan rombongannya turut menjelajah ke seluruh pelusuk kawasan DUN Paginatan bagi merayakan Pesta Kaamatan pada tahun ini sambil bertemu dan berinteraksi dengan masyarakat di sini.

wartaoriental

Exit mobile version