Site icon Sabah Baru News

Skandal Jabatan Air Negeri Sabah: PM akan minta SPRM dapatkan semula wang

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan semula wang yang digelapkan dalam skandal kontroversi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada 2016.

“Saya akan mengarahkan SPRM memberi penjelasan mengenai ke mana wang itu pergi dan mengapa tindakan susulan tidak diambil.

“Saya mesti menghormati sistem tadbir urus. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak SPRM. Saya hanya boleh minta suruhanjaya menjalankan tugas dengan telus.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ketua majlis pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang membangkitkan masalah air universiti itu semasa majlis Temu Anwar @ UMS Kota Kinabalu, di sini, baru-baru ini.

Pelajar itu juga bertanya mengenai dana yang digelapkan daripada skandal jabatan air, sama ada ia akan dikembalikan dan digunakan untuk menangani masalah air dan penyelenggaraan di Sabah.

Pada Februari lalu, Anwar berkata di Parlimen bahawa RM63 juta telah diperoleh daripada skandal itu, melibatkan ketirisan RM3.3 bilion yang bertujuan untuk projek infrastruktur air.

Pada 2016, disyaki dua pegawai JANS mencuri wang tunai RM3.3 bilion yang bertujuan untuk projek air di Sabah sejak 2010, menggunakan rangkaian perniagaan yang ada kaitan dengan keluarga mereka.

Susulan serbuan di kediaman dan tempat kerja bekas pengarah jabatan itu dan timbalan pengarah bersara, kes rasuah itu terbongkar.

Wang tunai RM45 juta dan RM3 juta masing-masing ditemui di rumah suspek.Dalam serbuan itu, barang kemas, beg tangan mahal dan barangan lain turut dirampas.

–Anthea Peter

Exit mobile version