Site icon Sabah Baru News

KDCA diharap pandang serius pendapat netizen -KYC

KOTA KINABALU: Majlis Belia KDCA/ KDCA Youth Council (KYC) berharap pihak KDCA memandang serius pendapat netizen mengenai Kaamatan, demi penambahbaikan acara di luar dan dalam Dewan KDCA sepanjang bulan Kaamatan.

Pengerusinya, Steve Johnny Mositun, berkata saban tahun ada sahaja perkara yang dibangkitkan netizen menerusi laman media sosial setiap kali berlangsungnya sambutan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan KDCA.

Menurut Steve, antara yang hangat diperkatakan tahun ini sehingga menjadi kotroversi ialah soalan kepada seorang finalis pertandingan Unduk Ngadau, sehingga mendapat kritikan hebat oleh netizen.

“Turut dibangkitkan dan menjadi pertikaian adalah mengenai pakaian tradisi ‘Abaya’, dipercayai dari salah satu suku kaum di daerah Ranau, yang tidak mendapat pengiktirafan sebagai salah satu pakaian tradisi yang layak dipertandingkan dalam Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Negeri.

“Selain itu, tender tapak berniaga (kanopi) yang dikatakan mahal oleh kebanyakan peniaga juga merupakan antara perkara penting yang perlu dititik beratkan oleh KDCA pada tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Menurut Steve, terdapat juga beberapa video yang tular di aplikasi WhatsApp, memaparkan sekumpulan wanita menari di atas meja serta beberapa belia lain yang mabuk. Video-video ini memberi gambaran tidak elok kepada bangsa kita yang meraikan Kaamatan.

Perkara lain yang dilihat boleh menjejaskan pandangan segelintir pihak juga adalah mengenai keadaan kebersihan dan bau tandas yang sering dikatakan setiap tahun, tambahnya.

Bagaimanapun, beliau menyokong KDCA mengenai acara di luar yang dikaitkan sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan Kaamatan.

“Aktiviti minum-minum di luar dewan KDCA bukan salah satu pengisian sambutan Kaamatan,” katanya.

Menurut Steve, pengisian acara Kaamatan hanya berlaku dalam dewan utama, bermula dari 24 hingga 31 Mei, dan di pentas luar dewan terbuka pada 30 dan 31 Mei.

“Antaranya ialah Hiis, Konsert Iscep, Sugandoi, Mr Kaamatan, Unduk Ngadau, dan persembahan kebudayaan lain, manakala pada 30 dan 31 Mei pula diadakan pertunjukan serta acara persembahan kebudayaan di rumah-rumah tradisi oleh daerah atau suku kaum masing-masing. Inilah pengisian sebenar acara Kaamatan,” katanya.

Aktiviti di luar dewan KDCA (gerai jualan) atau di rumah-rumah tradisi pada waktu petang dan berlanjutan hingga malam sepanjang 15 hingga 31 Mei sepatutnya adalah di bawah pengurusan setiap rumah tradisi yang menjalankan aktiviti perniagaan sebagai sumber ekonomi para penyewa kanopi dan rumah tradisi sepanjang tempoh tersebut, tambahnya.

“Ini tiada kaitan dengan pengisian aktiviti sambutan Kaamatan itu sendiri, termasuklah segala muzik karaoke, apatah lagi tarian ghairah yang saya lihat lebih kepada menarik pelanggan bagi menggalakkan aktiviti perniagaan mereka.

“Namun, kita seharusnya berterima kasih kepada kepimpinan KDCA yang telah merapatkan jurang antara semua penyelaras cawangan bukan sahaja daerah di Sabah, tetapi kini telah bertapak di enam lagi negeri di Semenanjung Malaysia, dan terbaharu di Sarawak.

“Tanpa KDCA, acara ini belum tentu diiktiraf oleh Kerajaan Negeri sebagai acara signifikan sehingga diberikan cuti umum Sabah pada 30 dan 31 Mei setiap tahun,” katanya.

Bagi Steve, acara Kaamatan membuktikan kesatuan yang kuat dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di seluruh negara, dan boleh diraikan oleh sesiapa sahaja dalam keadaan aman.

Sebagai pemimpin muda KDCA, katanya, Majlis Belia KDCA yang ditubuhkan sejak tahun 2015, kini lebih daripada bersedia untuk membantu dalam memperbaiki mutu penganjuran Pesta Kaamatan.

“Malah, mana-mana badan Penyelaras KDCA Daerah yang bersedia dan sukarela serta berminat membantu amat dialu-alukan. Saya yakin pihak KDCA gembira jika ada yang mahu membantu,” katanya.

Mengenai KYC, katanya, tahun ini pihaknya membuka reruai untuk memperkenalkan peranan belia dalam KDCA, selain mempamerkan aktiviti dan menjadi ruang kepada belia serta pengunjung muda untuk menulis aspirasi mereka.

“Kami berterima kasih kepada para penderma acara hadiah cabutan bertuah, biar pun nilai terkumpul adalah kecil tetapi cukup membantu sebagai aktiviti pengisian tahun ini.

“Selain itu kami juga dapat membantu dalam kempen Derma Darah Anjuran KDCA di ITCC serta aktiviti ‘International Hospitality’ yang mana pelajar UITM dan belia secara sukarela membantu dalam membawa sebahagian daripada pelawat dari Kalimantan, pelajar Australia, dan pelancong luar negara pada 30 dan 31 Mei lalu.

“Selaku Pengerusi, saya ingin ahli-ahli yang terlibat dapat merasai sendiri keadaan, suasana, serta peranan dan tanggungjawab mereka kepada komuniti.”

Justeru, beliau berharap semua perkara yang dibangkitkan orang ramai itu dapat diambil kira oleh pihak KDCA, agar pengurusan perjalanan acara lebih efisien pada masa akan datang dengan mengambil kira pelbagai perkara untuk penambahbaikan.

EDITOR D.E

Exit mobile version