Site icon Sabah Baru News

Minggu depan saya jumpa Muhyiddin, kata KJ

Kuala Lumpur – Keputusan muktamad berhubung tawaran untuk menyertai Bersatu dijangka dibuat Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada minggu depan.

Bekas Ahli Parlimen (MP) Rembau itu mengesahkan akan berjumpa dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu depan bagi memberi jawapan berhubung tawaran yang dibuat sebelum ini dan untuk rekod beliau dipecat UMNO kerana melawan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy memberitahu akan berjumpa dengan Muhyiddin semasa mengulas berhubung pertemuan dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini yang mencetuskan banyak spekulasi.

“Untuk ketika ini, (saya tanya) tiada apa-apa perancangan untuk politik, dan saya telah maklumkan kepada Hisham, saya akan jumpa Tan Sri Muhyiddin minggu depan untuk beri jawapan muktamad. Biar saya simpan dulu…,” katanya dalam rancangan ‘Keluar Sekejap’ yang disiarkan pada Jumaat.

Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) , Tan Sri Muhyiddin Yassin

Berhubung pertemuan dengan Hishammuddin, Khairy menafikan perjumpaan tersebut membincangkan sebarang komplot atau langkah-langkah tertentu tetapi hanya sekadar bertanya khabar masing-masing.

“Saya dengan Hisham (Hishammuddin) dah lama (kenal) sebenarnya. Saya masuk politik melalui beliau. Waktu itu beliau sebagai Ketua Pemuda dan saya sebagai graduan muda dan beliaulah yang masukkan saya dalam UMNO.

“Jadi perjuangan saya dengan Hisham ini dan lama, apa pun ‘next step’ kita, bukan semestinya… macam Shahril pernah sebut: It’s not necessary you’re following me in the next step, it’s not necessary, I will follow Hisham in our next step.”

“Memang tiada komplot atau langkah tertentu, atau sebagainya. Kita cuma tanya keadaan masing-masing,” katanya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin mengemukakan tawaran kepada Khairy untuk masuk Bersatu dan dilantik sebagai Ahli Pimpinan Tinggi selepas mendapat persetujuan pimpinan parti yang lain.

Muhyiddin berkata, partinya mempunyai dua kekosongan jawatan berkenaan.

Khairy dipecat daripada UMNO pada awal tahun ini atas alasan melanggar disiplin parti.

EDITOR A.D.

Exit mobile version