Site icon Sabah Baru News

‘Saya tak minat walau ditawar jawatan, wang ringgit’ – Tun Faisal

SHAH ALAM – Ahli UMNO yang dipecat sepatutnya tidak menerima tawaran keahlian jika mereka berpegang kepada prinsip maruah.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia kerana individu yang dipecat kepimpinan parti tersebut hakikatnya tidak bersalah dan mereka hanya berbeza pendapat dengan pimpinan tertinggi.

Beliau juga secara peribadi menegaskan tidak akan sesekali menyertai UMNO meskipun ditawarkan wang ringgit atau jawatan.

“Saya tak mahu bersubahat dengan pengkhianatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap pengundi-pengundi tradisi UMNO,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Seramai 42 ahli UMNO dipecat atas kesalahan menjadi calon bebas, calon parti lawan dan membantu lawan gabungan Barisan Nasional ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid ketika pada Sabtu menegaskan parti itu tidak menerima sebarang rayuan daripada ahli yang dipecat untuk kembali ke parti itu.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, UMNO hanya menerima rayuan daripada mereka yang digantung sebelum pemilihan parti.

Dalam pada itu, Tun Faisal menambah, selagi Ahmad Zahid kekal sebagai Presiden kepada parti tersebut, hatinya sudah tertutup dengannya.

Ujarnya, tindakan beliau mendukung Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menjadi Perdana Menteri dan membentuk jajaran baru dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), jelas merupakan satu pengkhianatan.

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK

Exit mobile version