Site icon Sabah Baru News

Majlis Tertinggi GRS bersetuju kerjasama dengan BN pada PRU15

Hajiji (tengah) mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi GRS malam tadi.

KOTA KINABALU: Mesyuarat Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diadakan di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Alamesra, di sini, malam tadi, dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS.

Mesyuarat tertutup yang bermula pada jam 8 malam itu membincangkan tentang persiapan GRS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Turut hadir ialah ketiga-tiga Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Yong Teck Lee, serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Masidi Manjun dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat itu, Hajiji berkata, mereka hanya membincangkan tentang persediaan menghadapi pilihan raya dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN). 

“Parlimen sudah bubar, jadi kita mesti bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan mengaktifkan jentera parti GRS.

“Dalam mesyuarat tadi kita juga telah menekankan tentang kerjasama dengan BN…itulah persetujuan kita,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan telah dibuat mengenai calon-calon yang akan bertanding atas tiket GRS, katanya, perkara tersebut masih belum dibincang dan diputuskan.

“Kita akan umumkan nanti,” ujarnya.

Kerjasama GRS dan BN dijangka akan mengukuhkan lagi dua gabungan berkenaan dalam berhadapan parti pembangkang, Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

GRS merangkumi komponen BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), manakala BN merangkumi komponen UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA dan MIC.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, Warisan dan PH berjaya memenangi 14 kerusi manakala BN Sabah memenangi 10 kerusi, sementara parti STAR pula mendapat satu kerusi Parlimen.

Ketika ini, GRS memegang lapan kerusi parlimen, Warisan (7), PH (5), BN (3), PBM (1).

Kerusi bagi Parlimen Batu Sapi pula masih belum diisi selepas kematian Datuk VK Liew dari Warisan.

wartaoriental

Exit mobile version