Site icon Sabah Baru News

60 tahun merdeka, pembangunan Sarawak terus rancak – Premier Sarawak

BINTULU: Sarawak telah menyaksikan banyak perubahan sejak negeri ini mencapai kemerdekaan 60 tahun yang lalu, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, ia dapat dilihat dengan kerancakan pembangunan yang berlangsung ketika ini yang memberi  manfaat besar buat rakyat.

Katanya, dengan mengambil contoh konvoi kembaranya dari Miri ke Bintulu pada hari ini membuktikan pelbagai perubahaan dapat dirasai terutamanya jalan raya.

“Realitinya kita tidak dapat menafikan Sarawak telah berubah berbanding 60 tahun lalu, umpamanya kalau dahulu dari Bekenu ke Miri dengan jalan yang berbatu mengambil masa dua jam dan hari ini kalau saya tidak berhenti di Kampung Nyalau dan juga di Kampung Bungai, satu jam lebih saya sudah boleh sampai di Bintulu daripada Miri.

“Ini adalah bukti pembangunan yang telah berlaku dalam masa 60 tahun dan juga kalau kita melihat persekitarannya, kita dapat apa yang berlaku dari segi pertanian, kilang-kilang seperti di Samalaju,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan ‘Walkabout’ ke Reruai Jualan Keusahawanan di Naim Street Mall, Paragon di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bekenu atas keputusan memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022

“Oleh kerana sekolah di Bungai telah mencapai kejayaan yang tahun ini agak luar biasa dalam SPM, maka saya menyumbang kepada PIBG RM10,000 untuk anak-anak kita di sekolah tersebut sebagai insentif dengan harapan mungkin tahun depan boleh mendapat kejayaan yang lebih cemerlang lagi,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari bersama rombongan konvoinya tiba di Bintulu kira-kira jam 3.02 petang, ketibaan konvoi disambut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Kemudiannya, beliau merasmikan Majlis Perasmian Pameran Digital bersempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka Bahagian Bintulu yang berakhir esok.

Hadir sama ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

 Muqri Aziz

Exit mobile version