Site icon Sabah Baru News

NGO, badan komuniti setempat disaran bantu kempen derma darah

Putatan: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan komuniti setempat disaran membantu penganjuran program kempen derma darah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, bagi memastikan bekalan darah di hospital mencukupi, badan korporat, NGO dan badan berkaitan masyarakat harus berganding bahu menjayakan program tersebut.

“Penganjuran program seperti yang dilaksanakan oleh Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Putatan ini harus disokong oleh pelbagai pihak agar dapat diadakan dengan lebih kerap.

“Ini bagi memastikan Unit Tabung Darah mempunyai bekalan darah yang mencukupi untuk menampung keperluan hospital-hospital di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Program Kempen Derma Darah anjuran BSMM daerah Putatan di sini semalam.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua penderma darah yang hadir menjayakan usaha murni itu.

Beliau turut memuji penglibatan Kelab Radio Amatur Borneo (BARC) dalam menyebar luas maklumat berkaitan kepentingan menderma darah dan program-program yang diadakan sepanjang tahun kepada ahli-ahli kelab serta pengamal frekuensi radio amatur di Sabah. 

Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4 petang di ruang legar Putatan Mall tersebut dibantu lapan petugas Jabatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth II diketuai oleh Dr Lynette Lee berjaya mengumpul sebanyak 56 pain darah.

Hadir sama, Pegawai Daerah Putatan, Mokhtar Hussin, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib, Pengerusi BSMM Daerah Putatan Nanih Abah, Naib Pengerusi BSMM Putatan, Adnan@ Awang Damit Ibrahim Pengerusi Jawatankuasa Program Derma Darah Daerah Putatan, Harun @Hamidon Abd. Wahab, Setiausaha Kehormat BSMM Putatan, Zainuddin Moksil dan Pegawai Publisiti BSMM Putatan, Azman Jumat.

— EDITOR

Exit mobile version