Site icon Sabah Baru News

Perayaan Pesta Kaamatan mampu menjadi platform pupuk perpaduan: Robert

KENINGAU : Perayaan Pesta Kaamatan mampu menjadi platform bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, ia juga memperlihatkan semangat rakyat Malaysia yang bersatu padu, muhibbah dan harmoni.

Katanya, ianya juga selaras dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu “Kaamatan Membudayakan Perpaduan”.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, hubungan harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum merupakan kunci utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran supaya negara kita dapat mencapai wawasan dan matlamatnya.

“Kerajaan sentiasa menitikberatkan agenda perpaduan kerana dengan bersatu hati, kita dapat membina sebuah negara yang aman damai, sejahtera dan rakyatnya sentiasa mementingkan perpaduan dan negara aman, politiknya tidak huru-hara, serta ekonomi yang baik” katanya semasa berucap merasmikan perayaan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Berungis baru-baru ini.

Justeru itu katanya, keamanan, persahabatan dan kebersamaan yang amat unik di negeri ini yang menjadi model dan contoh yang terbaik dalam konsep Malaysia Madani yang menekankan perpaduan kaum perlu dijaga dan dipertahankan.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah di atas komitmen, usaha dan muafakat serta kerjasama yang sangat baik oleh semua AJK pelaksana perayaan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Berungis dan semua penduduk kampung pada tahun ini dalam memastikan pelaksanaan program dan aktiviti berjalan dengan baik seperti yang telah dirancang.

“Saya berharap semua nilai-nilai murni yang kita semaikan dalam perayaan Pesta Kaamatan ini akan sentiasa subur diamali dalam kehidupan kita.

“Kaamatan membudayakan perpaduan” ini akan menjadi sumber inspirasi dan semangat untuk kita terus mengekalkan kesejahteraan dan kemakmuran di bumi sabah dan malaysia yang tercinta ini,” tambahnya.

MARUTIN ANSIUNG

Exit mobile version