Site icon Sabah Baru News

Minyak sawit di EU, pastikan pintu perdagangan terbuka untuk pekebun kecil

Malaysia menyokong sepenuhnya sebarang usaha untuk mengurangkan aktiviti penebangan hutan dan sentiasa mematuhi amalan mampan dalam penanaman kelapa sawit. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengetuai misi yang berakhir dengan jayanya untuk bertemu penggubal undang-undang utama Kesatuan Eropah (EU) untuk mencari penyelesaian berhubung undang-undang penebangan hutan blok itu yang bersifat tidak adil, iaitu Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), yang boleh menjejaskan industri minyak sawit.

Misi ke EU, yang bekerjasama dengan Indonesia di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), berjaya mendapat jaminan untuk lebih banyak perbincangan dengan EU sebelum EUDR, yang bertujuan untuk mengurangkan aktiviti penebangan hutan global, menjadi tanggungjawab 18 bulan dari sekarang.

Sehubungan itu, penting bagi Malaysia dan Indonesia, yang menghasilkan lebih 80 peratus daripada pasaran minyak sawit global, untuk meneruskan permintaan mereka bagi memastikan jutaan pekebun kecil tidak terjejas dan terkeluar daripada rantaian bekalan. 

Pada masa ini, pekebun kecil, walaupun menyumbang kira-kira 35-40 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global, hanya mempunyai bahagian kecil daripada pasaran EU.

Pada 2022, EU mengimport kira-kira enam juta tan minyak sawit. Di Thailand, pengeluar minyak sawit ketiga terbesar, pekebun kecil menyumbang lebih 85 peratus.

Selain meminta EU menerima skim pensijilan mampan negara masing-masing, kedua-dua negara, turut meminta kejelasan dalam sistem penanda aras undang-undang, geolokasi, kesahihan tanah serta kebolehkesanan yang memerlukan data yang perlu diberikan kepada pelanggan akhir yang berpangkalan di blok itu.

Kebolehkesanan dilihat sebagai cabaran terbesar untuk diatasi oleh pekebun kecil bebas.

Dalam pertemuannya, Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menjelaskan bahawa Malaysia menyokong sepenuhnya sebarang usaha untuk mengurangkan aktiviti penebangan hutan dan sentiasa mematuhi amalan mampan dalam penanaman kelapa sawit, pada masa sama mewajibkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Malaysia, di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) 2021 di Glasgow, Scotland, mengumumkan bahawa ia berhasrat untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal 2050.

Malaysia turut komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan seperti yang dinyatakan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992. Pada masa ini, litupan hutan Malaysia adalah sebanyak 55.3 peratus.

Berdasarkan analisis Forest 500 oleh Global Canopy, sebanyak 72 peratus daripada syarikat minyak sawit telah menyatakan komitmen untuk mengurangkan aktiviti penebangan hutan, jauh lebih tinggi berbanding komoditi lain seperti pulpa dan kertas (49 peratus), soya (40 peratus), daging lembu (30 peratus) dan kulit (28 peratus).

Bagaimanapun, Malaysia menentang sebarang keputusan unilateral, seperti yang dibuat oleh EU, tanpa mengambil kira cabaran dan kekangan negara pengeluar, yang kebanyakannya negara membangun, dalam memenuhi keperluan tersebut.

Langkah sedemikian dilihat tidak lebih daripada sekadar halangan untuk melindungi perdagangan minyak sayuran Eropah sendiri dan sudah tentu bimbang dengan persaingan sengit daripada minyak sawit, yang mempunyai hasil tertinggi berbanding minyak soya, jagung dan biji sesawi.

Ini, bagaimanapun, bukan kali pertama blok itu berbuat demikian.

Sebelum ini, di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU III (EU RED III), minyak sawit masih dipilih oleh pengawal selia EU sebagai satu-satunya bahan mentah bahan api bio yang mempunyai risiko perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi, dan oleh itu ia akan dihentikan secara berperingkat untuk tujuan pengiraan ke arah sasaran tenaga boleh diperbaharui EU menjelang 2030.

“Pendapatan harian dan kesejahteraan pekebun kecil bergantung sepenuhnya kepada satu perkara, sama ada mereka benar-benar boleh bertani, menuai dan membawa hasil tanaman mereka ke pasaran,” kata Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Datuk Carl Bek-Nielsen, di Brussels, Belgium.

Perlu diingatkan bahawa minyak sawit, sejak sekian lama, telah menjadi instrumen untuk membawa keluar berjuta-juta orang daripada kemiskinan.

Apabila bercakap mengenai pekebun kecil, mereka yang menanam kelapa sawit sebagai sumber pendapatan utama dan sering menggunakan keluarga sendiri sebagai buruh.

Mereka bukan sahaja perlu dilindungi atas pelbagai sebab tetapi turut diberi peluang dalam pasaran global untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan.

“Kita perlu memastikan mereka yang berada dalam rantaian bekalan pekebun kecil mendapat peluang dan tidak diketepikan,” kata Bek-Nielsen, sambil menambah pada dasarnya, ia mengenai memastikan pintu perdagangan terbuka.

— BERNAMA

AWANI

Exit mobile version