Site icon Sabah Baru News

DUN Pahang dibubarkan hari ini

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, pembubaran dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengumuman itu dibuat pada 10 pagi ini di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Katanya, pemilihan tarikh hari ini ialah bagi membolehkan pembentangan dan perbahasan mengenai Bajet Pahang 2023 disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus diluluskan untuk dilaksanakan tahun depan, demi kepentingan rakyat.

Jelas beliau, meskipun penggal ini berbaki beberapa bulan lagi, ketetapan pembubaran DUN dan menyertai PRU15 bersama kerajaan persekutuan dibuat berdasarkan beberapa keperluan.

“Pertama, untuk mengelakkan proses dan musim PRU berulang dalam tempoh singkat. Ini kerana, kurang setahun dari sekarang, penggal akan berkahir dan pilihan raya akan dilakukan,” katanya.

Kedua, Pahang memilih untuk membuat pilihan raya serentak bersama peringkat persekutuan bagi tujuan penjimatan kos pengurusan dan pengendalian pilihan raya.

Tambahnya, ia bagi memastikan permulaan dan pengakhiran penggal di peringkat negeri dan persekutuan dapat diselarikan, juga membolehkan kerajaan negeri memberi fokus kepada pengurusan dan pentadbiran.

Pada PRU14 lalu, UMNO dan Barisan Nasional memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN di Pahang.

Sembilan lagi kerusi DUN adalah di bawah Pakatan Harapan (PH) sementara lapan lagi di bawah Pas.

-astroawani

Exit mobile version