Bunga berkata, dia akan cuba buat sehabis baik, terutama dalam memperkenalkan muzik Malaysia kepada orang luar. – Gempak
PENYANYI rap Bunga tiba-tiba menjadi bualan netizen apabila dia diumumkan sebagai artis persembahan pembuka (opening act) bagi konsert Coldplay Music Of The Sphere World Tour pada 22 November depan.
Sungguhpun ramai yang memberikan sokongan kepada gadis berusia 23 tahun itu, namun, masih ada yang tertanya-tanya, dan mempertikaikan tentang pemilihannya sebagai artis pembuka bagi kugiran popular dari UK itu.
Tidak patah semangat, Bunga berkata, dia akan cuba buat sehabis baik, terutama dalam memperkenalkan muzik Malaysia kepada orang luar.
“Saya tahu, ramai yang pertikaikan kenapa saya menjadi opening act bagi kumpulan Coldplay. Tapi saya akan cuba buat sehabis baik untuk persembahan pembukaan itu nanti.
“Selain itu, saya mahu muzik kita didendangkan kepada orang luar dan memperkenalkan budaya kita dan muzik saya kepada mereka,” kata Bunga kepada Gempak.
Melanjutkan bicara, Bunga berkata, dia mendapat tahu mengenai berita gembira ini sekitar dua bulan lalu.
“Sebenarnya, saya tahu dapat perform sebagai opening act sekitar dua bulan lalu, sebelum tiket mula dijual.
“Bila dapat tahu, sudah tentu terkejut, sebab bila masa pula mereka pilih saya. Tahu-tahu sudah terpilih. Saya terkejut dan speechless. Kita membesar dengan lagu-lagu Coldplay, kita tahu showmanship mereka macam mana.. Jadi memang saya akan berusaha untuk buat yang terbaik,” katanya lagi.
Difahamkan, Bunga bakal mempersembahkan dua buah lagu, iaitu Buai dan Intan Payung pada konsert berkenaan. Bunga juga akan memulakan latihan pada bulan depan.
Konsert Music Of The Spheres World Tour akan bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan.
Sebanyak 85,000 tiket sudah habis terjual. Konsert siri jelajah itu juga bakal dianjurkan di negara Asia seperti Singapura, Indonesia dan Thailand. — Gempak
— AWANI