Site icon Sabah Baru News

Kenapa nak halang dedah laporan kehilangan Amri, Teresa soal kerajaan

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen kerajaan mempersoalkan permohonan Putrajaya untuk mengenepikan arahan mahkamah pada bulan lalu yang mengarahkannya mendedahkan laporan sulit berhubung kehilangan aktivis Amri Che Mat kepada isterinya.

Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata isteri Amri, Norhayati Ariffin ada hak untuk tahu apa yang berlaku pada suaminya yang hilang kira-kira tujuh tahun lalu.

“Ini (tindakan kerajaan) adalah bertentangan dengan hak asasi manusia dan Suhakam perlu menyatakan pendiriannya dalam isu ini,” katanya ketika membahaskan laporan tahunan 2020 agensi hak asasi manusia itu di Dewan Rakyat.

Pada minggu lalu, peguam Norhayati, Larissa Ann Louis memberitahu FMT kerajaan memfailkan rayuan bagi menghalang dokumen itu didedahkan dan memperoleh penangguhan arahan mahkamah sementara menunggu keputusan rayuan.

Pada 9 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajaan mendedahkan laporan itu kepada Norhayati dalam tempoh satu bulan.

Amri adalah pengasas Perlis Hope, dilaporkan hilang pada 2016 yang menyebabkan Suhakam membuat siasatan awam berhubung kejadian itu.

Pada 2021, Suhakam mengisytiharkan Amri adalah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh negara, khususnya Cawangan Khas.

Satu pasukan petugas khas ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat kesimpulan Suhakam itu tetapi kementerian mahu pun pasukan itu tidak mendedahkan laporan yang disediakan walaupun didesak pelbagai pihak termasuk suruhanjaya itu dan NGO lain.

Tiga hari lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Putrajaya akan melihat apakah langkah yang boleh diambil berhubung pendedahan terhad laporan siasatan tersebut.

Dineskumar Ragu

Exit mobile version