Site icon Sabah Baru News

Sekolah, PIBG digesa tingkat pantau aktiviti pelajar

TUARAN: Pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) digesa untuk meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti anak-anak berikutan kejadian keracunan membabitkan pelajar sebuah sekolah menengah di Pitas baru-baru ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai berkata, pemantauan rapi yang sewajarnya sama ada di dalam premis sekolah mahupun di luar perlu ditekankan kepada pihak berkaitan.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ini turut meletakkan keperluan bagi mengelakkan sebarang kejadian seumpama itu dari berulang pada masa hadapan.

“Apa yang berlaku di Pitas mesti menjadi pengajaran kepada kita semua terutama ibu bapa dan guru. 

“Selain itu, ibu bapa dan guru perlu menjalinkan hubungan yang lebih kukuh dengan memantau secara proaktif aktiviti dan pergerakan anak-anak,” katanya.


Joniston berkata demikian ketika menyampaikan perutusan pada majlis Pelancaran Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah (SM) Advent Tamparuli di sini semalam.

Turut hadir, Pengetua SM Advent Tamparuli Alben Rotop dan Pengerusi PIBG SM Advent Tamparuli George Teo.

Pada majlis itu, beliau yang juga alumni SM Advent Tamparuli, menyampaikan replika cek berjumlah RM100,000 yang diterima bersama oleh Alben dan George.

Peruntukan dari kerajaan negeri itu bertujuan membantu pelajar yang memerlukan. Sekolah berkenaan mempunyai lebih 300 pelajar dari seluruh negeri dan ramai daripada mereka berasal dari kawasan luar bandar.

Selain itu, Joniston turut menyampaikan sijil kecemerlangan dan insentif kewangan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Baru-baru ini, seramai 20 pelajar lelaki berumur dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun dari sebuah sekolah menengah di Pitas dimasukkan ke hospital selepas keracunan hidrokarbon (spirit).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Raisin Saidin dipetik berkata, pihaknya memandang serius kes terbabit dan mengingatkan semua pihak supaya sentiasa waspada dengan aktiviti anak-anak.

Menurutnya, komunikasi secara terbuka kepada anak-anak hendaklah dijaga dengan menyampaikan kepada mereka risiko yang berkaitan dengan penyalahgunaan bahan serta aktiviti lain yang memudaratkan.

“Melalui usaha kolektif, kami boleh memupuk persekitaran yang lebih selamat untuk pelajar dan melindungi mereka dari sebarang bahaya,” jelasnya.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version