Site icon Sabah Baru News

Kurang pengetahuan punca ramai jadi mangsa jenayah siber: Robert

KENINGAU: Disebabkan kekurangan ilmu, ramai individu mudah terpedaya dengan penipuan jenayah siber, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik.

Katanya, banyak kerugian dialami individu yang terpedaya dengan jenayah siber melibatkan pembayaran cukai pendapatan, bil utiliti, insurans dan pembelian barangan yang tidak wujud, antara lain.

“Individu yang tidak mempunyai pengetahuan tentang jenayah siber cepat terpedaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Pintar: Bengkel Keselamatan Siber di dewan SK Bingkor di sini pada Selasa.

Program sehari anjuran Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom) di negeri ini dihadiri lebih 200 peserta terdiri daripada ketua masyarakat, belia dan ibu bapa dari daerah ini.

Robert berharap melalui bengkel itu, peserta akan lebih memahami isu keselamatan siber di samping membanteras jenayah siber yang tersebar melalui internet dan semua medium media sosial.

“Saya juga berharap agar program J-Kom yang julung kali diadakan di negeri ini dapat membantu peserta yang terdiri daripada ketua masyarakat dan ibu bapa untuk lebih cakna akan jenayah siber,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Robert yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor menyifatkan program itu amat bermakna sebagai pendedahan mengenai bahaya jenayah siber kepada masyarakat akar umbi.

Katanya, program itu juga adalah platform kepada peserta untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan siber.

‘Saya berharap usaha berterusan kerajaan Perpaduan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta yang bertindak sebagai penyampai utama untuk berkongsi segala maklumat melalui bengkel ini kepada keluarga dan semua lapisan masyarakat di kawasan masing-masing.

“Anggota masyarakat perlu sedar akan kewujudan pelaku jenayah siber yang menjadikan mereka yang kurang pengetahuan sebagai mangsa.

“Kita juga perlu sentiasa mengawal kendiri penggunaan perisian yang digunakan oleh anak-anak kita dan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang aspek keselamatan siber ketika melayari internet,” katanya.

Robert berharap lebih banyak program seumpamanya diadakan khususnya di pedalaman bagi memastikan pendidikan dan intervensi lebih berkesan agar isu ini dapat ditangani secara holistik dan kolektif.Beliau optimis program itu dapat memberi impak langsung kepada masyarakat.  

“Saya merayu kepada ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan keluarga dalam penggunaan internet dan begitu juga kepada golongan muda hari ini agar lebih bijak menilai kandungan media sosial dan tidak menjadi mangsa penjenayah siber,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) J-Kom, Zamri Yusof; Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Program, Kazidi Mohd Zainuddin; Ketua Penolong Pegawai Daerah, Easter Michael Sutili @ Norhafizah Abdullah; Guru Besar SK Bingkor, Madalina Juanis, pegawai kerajaan negeri dan persekutuan. 

— Johan Aziz

Exit mobile version