Site icon Sabah Baru News

Perkahwinan kanak-kanak masih berlaku: Flovia

TONGOD: Semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu perkahwinan awal kanak-kanak (MIPA) di luar bandar.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk Flovia Ng, berkata, ini penting agar isu itu dapat ditangani dengan berkesan.

“Daripada dapatan kita, MIPA masih berlaku kerana ia merupakan kemahuan sendiri pasangan itu meskipun ibu bapa mereka melarang perkara itu.

“MIPA membawa banyak kemudaratan kerana pasangan yang terlalu muda ini kebanyakannya belum bersedia dan tidak mempunyai kematangan serta persiapan dalam mendirikan rumah tangga yang akhirnya menyumbang kepada konflik rumah tangga termasuk aspek mental, fizikal dan kewangan,” tambahnya.

Beliau menambah, pasangan yang ingin berkahwin harus mempersiapkan diri mereka dalam aspek pekerjaan, ekonomi, psikologi dan ilmu kekeluargaan bagi memastikan institusi kekeluargaan yang dibina akan kukuh sesuai dengan kematangan masing-masing.

Flovia berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Mengarusperdanakan Gender Dan Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-Kanak Di Luar Bandar Daerah Tongod anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (Jhewa) Sabah di Dewan Terbuka Dataran Tongod, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kuamut, Tokyo Abdul Hasim Saulid Kandan @ Omar yang mewakili Anggota Dewan Undangan Negeri Kuamut, Masiung Banah; Pengarah Jhewa Sabah, Haslina Ismail; Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Tongod, Florencia Padasin; Ketua Anak Negeri, Pengerusi JPKK, Ketua Kampung, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan penduduk setempat.

Kira-kira 300 orang menyertai program itu yang diisi dengan beberapa ceramah berkenaan topik yang dibincangkan termasuk isu perkahwinan awal dan perspektif undang-undang selain ruang pameran agensi berkaitan serta khidmat guaman dan kesihatan secara percuma.

“Sebanyak 14 kes MIPA dilaporkan di Tongod dari 2018 hingga 2022,” kata Flovia sebelum menambah KPMKR bersama Jhewa akan terus memperkasa program seumpamanya untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesan mudarat MIPA.

Beliau menambah, kanak-kanak diberikan ilmu mengenai MIPA dengan bimbingan guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru menerusi ceramah, kempen dan program berkaitan.

“Bagaimanapun, faktor ketiadaan sambungan internet khasnya di kawasan terpencil menyebabkan dasar kerajaan gagal dicapai penduduk termasuk berkenaan MIPA,” kata Flovia, sebelum menambah itu tidak sepatutnya menjadi penghalang kerana pemimpin peringkat kampung perlu memainkan peranan untuk menyebarluaskan kefahaman mengenai MIPA dan kesan mudaratnya.

Mengenai usaha mengarusperdanakan kesaksamaan gender, Flovia berkata semua pihak perlu memainkan peranan agar kesamarataan gender dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Mengenai cadangan agar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Tongod dapat menerima permohonan pendaftaran perkahwinan, katanya, perkara akan dipanjangkan ke pihak berkaitan untuk kemudahan penduduk di Tongod sekaligus memudahkan mereka tanpa perlu ke JPN di Telupid atau Sandakan.

–Mardinah Jikur

Exit mobile version