Site icon Sabah Baru News

Vivian dilantik sebagai Pengerusi LPKP Sabah yang baharu

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee yang telah secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah baharu memulakan tugas beliau dengan mempengerusi mesyuarat bersama ahli-ahli lembaga dan pegawai LPKP di Kota Kinabalu pada hari ini.

Selain berkenalan secara rasmi, mesyuarat itu juga bagi beliau memahami operasi LPKP serta mendengar masalah yang dihadapi ketika ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook atas kepercayaan yang diamanahkan dengan tugas penting untuk menjadi pengerusi wanita pertama LPKP Sabah dan beliau berjanji untuk menunaikan kewajipannya untuk menyelesaikan tunggakan permohonan lesen yang telah lama wujud.

Semalam, selepas Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat selesai, Vivian terus bertolak ke Kota Kinabalu untuk mempengerusikan mesyuarat LPKP yang pertama itu.

Dalam mesyuarat itu, terdapat 220 permohanan baharu telah diterima LPKP untuk permohonan berkaitan dan terdapat 186 permohonan itu juga telah diluluskan.

Sejak jawatan pengerusi LPKP Sabah kosong pada Mac tahun ini, terdapat banyak permohonan dan masalah yang tertunggak.

Vivian menyeru semua ahli lembaga dan pegawai agar dapat bekerjasama dengannya untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah dengan lebih cekap dan sistematik.

Pada masa yang sama, beliau mencadangkan dalam mesyuarat itu bahawa LPKP Sabah harus menjadi ‘platform’ komunikasi antara kerajaan tempatan seperti Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau, dan Lahad Datu dan pengendali kenderaan komersial, institusi serta persatuan yang berkaitan dan mewujudkan mesyuarat antara pelbagai pihak menerusi sesi dialog supaya ia dapat mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama serta meningkatkan lagi kecekapan LPKP.

Sebagai contoh, langkah baharu seperti pemasangan sistem GPS dan sistem perkhidmatan dalam talian LPKP bagi kenderaan komersial yang akan dilaksanakan mengikut dasar Kementerian Pengangkutan, ia perlu dilaksanakan melalui sesi dialog terlebih dahulu antara pelbagai pihak supaya mencapai persefahaman bersama dan pelaksanaanya juga akan lebih telus dan jelas.

Selain itu, beliau berkata penambahbaikan sistem pengangkutan awam khususnya tadbir urus sistem pengangkutan di bandar-bandar utama di seluruh negara yang menjadi tumpuan Kementerian Pengangkutan pada masa kini juga perlu dilihat dengan serius.

Justeru, jelasnya LPKP Sabah perlu mengambil bahagian secara aktif dalam perancangan dan peningkatan sistem pengangkutan awam di Sabah dengan memastikan sistem pengangkutan awam di negeri ini setanding dengan sistem di negeri lain.

Beliau mendedahkan sebagai permulaan, pelan transformasi bas Sabah (SBST) Kota Kinabalu adalah langkah pertama ke arah pemodenan sistem pengangkutan awam di Sabah.

Sebagai pihak perlaksanaan SBST, LPKP Sabah juga jelasnya harus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan pelbagai agensi persekutuan untuk menjayakan rancangan ini.

“Sekiranya rancangan ini berjalan dengan lancar, bermakna kita boleh menggunapakai kejayaan ini di seluruh Sabah dan memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Sabah termasuk Sandakan yang saya sayangi.” Tambahnya.

TAMAT.

Exit mobile version