KUALA LUMPUR: PAS menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) kerana terdapat kekeruhan wujud dalam gabungan itu antaranya golongan pemberi rasuah yang belum diselesaikan.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian dalam Kuliah Dhuha secara langsung menerusi Facebook beliau dari Pantai Kelulut, Marang, sebentar tadi.
“Kita tahu penerima rasuah ni ada dituduh, tak bersalah, difitnah macam-macam. Tapi tak selesai lagi. Penerima rasuah masih ada dalam BN. Kemudian cuai melaksanakan Islam. Dia orang Islam, dia memerintah dekat 50 tahun, cuai melaksanakan Islam.
“Melemahkan Islam. Ini kecuaian dia. Zalim, kita nak laksanakan Islam di Terengganu, di Kelantan, dia rampas royalti. Hasil minyak Terengganu patut dapat ke Terengganu dapat ke Kelantan. Hok Terengganu dia rampas. Hok Kelantan dia tak beri.
“Dia tekan Kelantan macam-macam. Katalah Kelantan tak boleh buat projek, tak boleh selesai masalah air, tak boleh, tak tak boleh, tak boleh, tak boleh ini. Tapi mu tak beri pitih. Kewajipan Kerajaan Pusat kena beri. Tapi buat main-main.
“Kelantan dalam keadaan kesusahan. Orang Kelantan kena sabar. Orang Kelantan yang dengar ini kena sabar. Ini masalah Kelantan. Ha pasal apa, pasal apa tak boleh selesai? Kelantan didera begitu rupa. Tapi sehingga hari ini, sabar orang Kelantan ini.
“Dah kali yang pertama 20 tahun, kali yang kedua 30 tahun dengan perjuangan Islam, tak tolak,” puji beliau terhadap sokongan rakyat Kelantan kepada perjuangan Islam dibawa PAS.
Katanya lagi, kekeruhan yang ada di dalam BN juga ditambah oleh sikap tidak sabar dan rakus hendak memerintah, sedangkan masalah disebutnya itu tidak diselesaikan, sedangkan PAS sudah menolong menjatuhkan Pakatan Harapan (PH).
Jelas beliau, PAS telah menarik semula orang Umno yang keluar menubuhkan BERSATU dan menyertai PH hingga menang membentuk kerajaan, lalu dipujuk kepada penyatuan Melayu-Islam.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kita tubuh. PAS bersama dengan parti BERSATU, bersama dengan Umno tubuh kerajaan. (Tapi) Dalam Umno ni masih ada yang gelenyar lagi, yang tak insaf, yang tak sedar. Ini masalahnya, kekeruhan.
“Bukan kita nak bermusuh. Tak bermusuh. Tapi kerana ada keruh. Kerana ada keruh ni, kita tangguh dulu. Dengan sebab itu kita mengambil pendekatan untuk menjernihkan keadaan. Banyak orang mari pujuk saya macam-macam.
“Macam-macam pihak daripada setinggi-tinggi, serendah-rendah mari pujuk saya, gabunglah dengan BN ni. Saya kata, kita fikir-fikir dululah. Kita gabung dengan PN, tolak yang beri rasuah, tolak yang terima rasuah, laksana amar makruf, nahi mungkar walaupun ini lebih payah.
“Lebih senangnya dengan Umnolah, boleh menang cepat. Orang ramai sokong, tapi kita tak gopoh. Macam buah durianlah. Jangan kait cepat sangat, kalau kait cepat sangat dak dan masak lagi, makan, kembung perut. Kembung perut.
“Dengan sebab tak mahu beri kembung perut inilah, biar masak betul-betul dulu. Saya tahu, ada orang PAS dia tak tahan, terliur sangat dah, dah, nak makan pengat durian. Terliur sangat dah. Durian mentah lagi, kena sabar dulu, biar masak molek dulu. Ada ini,” ujarnya.
Di dalam BN juga katanya, terdapat penerima rasuah walaupun pemberi rasuah sudah tidak berminat kepada mereka, selain ramai terlibat salah laku yang menyebabkan rakyat menerima susah dan masalah-masalah semakin membarah.
Malah, kegopohan BN untuk mendapat kuasa hinggakan bertindak membubar Parlimen sesama musim banjir kerana ingin menang cepat mendapat kuasa serta mengheret PAS terlibat sama.
Beliau bagaimanapun menjelaskan kewajiban mengundi dan pilihan raya tersebut sepertimana ibrah terkandung dalam peristiwa Hudaibiyah yang diharap dapat difahami ahli PAS dan rakyat. –