Site icon Sabah Baru News

Memastikan politik Malaysia stabil dan dasar ekonomi lebih jelas – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan memastikan kestabilan politik serta melaksanakan dasar ekonomi yang lebih jelas.

Tegasnya sebagai Perdana Menteri itu adalah komitmennya dalam memastikan negara mampu memacu pertumbuhan inklusif dan mampan dalam ekonomi terbuka yang menghargai aliran kewangan bebas.

Justeru bagi menggalakkan lagi pertumbuhan domestik, Kabinet akan mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan perniagaan seperti permohonan untuk ekspatriat mahir.

“Jangan bimbang, itu tugas saya dalam memastikan politik kekal stabil dan dasar ekonomi lebih jelas.

“Malah, di sebalik pelbagai cabaran yang diwarisi oleh kerajaan, petunjuk ekonomi awal menunjukkan bahawa dasar fiskal kerajaan dan langkah-langkah daripada Belanjawan 2023 membuahkan hasil.

“Antaranya ialah Malaysia mencapai pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 (berbanding unjuran 2023 sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus) dan kadar pengangguran yang berkurangan kepada 3.5 peratus (berbanding paras tertinggi 5.2 peratus pada Mei 2020),” katanya pada pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di sini, semalam.

Anwar berkata, walaupun Malaysia mempunyai ekonomi yang rancak dan sarat dengan sejarah pertumbuhan dan pembangunan, tetapi masih banyak ruang penambahbaikan diperlukan.

Beliau berkata, perdagangan dan pelaburan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan dan perkembangan ekonomi.Ini kerana, katanya, perdagangan dan pelaburan membawa modal baharu, teknologi dan kemahiran yang dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah mengalami keadaan yang teguh, kebangkitan semula aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI).”Pada 2022, Malaysia menarik FDI bersih sebanyak RM74.6 bilion, menandakan peningkatan yang luar biasa sebanyak 48 peratus daripada tahun sebelumnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelaburan Malaysia yang diluluskan pada suku pertama 2023 mencecah RM71.4 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada suku pertama 2022.

Beliau berkata, ini disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antara lainnya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely/Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.

Malah, menurutnya aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada 2022 telah naik kepada RM74.6 bilion berbanding RM50.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, pengekalan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s pada awal tahun ini turut mencerminkan keyakinan mereka terhadap kesungguhan kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

“Fakta ini memberi saya harapan. Kita masih belum keluar daripada kesukaran, terutamanya dengan ketidaktentuan ekonomi global tetapi saya optimis bahawa kita berada di landasan yang tepat untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.

— TV3

Exit mobile version