Site icon Sabah Baru News

Tiada unsur jenayah dalam kes Hakim Nazlan – PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang bukti berlaku kesalahan jenayah dalam siasatan kes Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurut Perdana Menteri, ia selepas siasatan menyeluruh dilakukan agensi itu.

“SPRM telah menyiasat secara menyeluruh perkara itu dan mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan.

“Perkara ini telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara pagi semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Kesavadas A Achyuthan Nair yang ingin mengetahui siasatan SPRM ke atas Mohd Nazlan dan konflik kepentingan dalam kes rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Anwar berkata, bukti perlu dikemukakan sekiranya terdapat dakwaan SPRM atau badan penguatkuasa bertindak atas arahan politik.

“Orang-orang yang menganggap ini siasatan bermotif politik, harus melihat kepada fakta dan bukan sentimen politik untuk kelirukan rakyat.

“Kalau nyata dari segi siasatan ada kes yang dianggap berprofil tinggi dan mempunyai alasan cukup kukuh untuk didakwa itu tugas SPRM dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Jelas beliau, SPRM perlu sentiasa menjalankan tanggungjawab dan tugas secara bebas dan berkecuali termasuk melibatkan siasatan terhadap tokoh politik dan bekas pemimpin negara.

— TV3

Exit mobile version