Site icon Sabah Baru News

KM rasmi tayangan perdana dokumentari Saudin The Orang Utan Whisperer 28 Oktober

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor akan merasmikan tayangan perdana dokumentari “Saudin The Orang Utan Whisperer” di Galeri Azman Hashim di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Menurut Pengarah RYE Production Sdn Bhd, Noraini Rahman, majlis itu dijadual berlangsung pada 28 Oktober ini, pada jam 2.30 petang serentak dengan pameran ‘Kembara Orang Murut Pertama ke New York – 1936’ di galeri itu dari 28 hingga 30 Oktober.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Norman James yang merupakan cucu kepada Saudin dan melakonkan wataknya dalam dokumentari itu serta Pengarah Galeri Dr Mohammed Puad Bebit.

Selepas tayangan perdana itu, dokumentari tersebut akan disiarkan di History Channel pada Disember 2022.Noraini turut merakamkan penghargaan kepada sokongan yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; Lembaga Pelancongan Sabah dan Muzium Sabah.

Menurutnya, idea menerbitkan dokumentari itu tercetus daripada buku bertajuk “The Spirit of Borneo” yang menampilkan watak menarik dikenali sebagai Saudin, berbangsa Murut dari Kampung Ambual di Keningau.

“Memandangkan ini adalah dokumentari penting yang memfokuskan kepada anak jati Sabah, kami mahu generasi muda mengenali Saudin kerana beliau adalah sebahagian daripada sejarah,” katanya.

“Selepas empat tahun mengkaji mengenai Saudin, kami menyampaikan cerita itu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan History Channel.

“Dokumentari itu adalah kisah benar Saudin Labutau yang menjadi orang Murut pertama menjejakkan kaki di New York pada 1936,” katanya.

Kisah Saudin menjadi amat menarik kerana beliau diupah pembuat filem hidupan liar pertama dunia, Martin dan Osa Johnson.Saudin bekerja dengan pasangan itu untuk mengendalikan hidupan liar Borneo yang ditangkap dan mengiringi haiwan itu ke New York.

“Saudin menjalin hubungan rapat dengan seekor orang utan dipanggil ‘Abai’ dan hanya beliau seorang sahaja yang dapat menjinakkan haiwan yang agresif itu,” kata Norman.

— Wu Vui Tek

Exit mobile version