Site icon Sabah Baru News

Kerjasama PH-BN semakin diterima, kata Gobind

PETALING JAYA: Ramai rakyat menerima kerjasama dalam kerajaan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.

Gobind percaya sambutan terhadap kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim agak baik sepanjang tujuh penubuhannya.

“Secara peribadi saya lihat ramai merasakan dan menerima kerjasama ini boleh berjaya, jadi saya tidak lihat sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas majlis kutipan dana DAP malam tadi.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang membolehkan pengundi menilai kecekapan kerajaan.

Beliau juga percaya ramai memahami punca penubuhan kerajaan perpaduan dan yakin wawasan Anwar untuk Malaysia dapat direalisasikan.

Pada majlis itu, bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata PH mesti membuktikan kepada pihak-pihak yang meragui gabungan itu bahawa “parti berbilang kaum yang bersih dan tidak korup” boleh melakukan lebih baik “berbanding gabungan korup seperti Barisan Nasional, serta Umno dan Bersatu”.

Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH, mesti melengkapkan penggalnya “sebagai perdana menteri yang popular”, dan membuktikan bahawa pengkritik PH salah, semasa beliau masih berkuasa.

Menurutnya, ia akan meningkatkan sokongan kepada PH yang membolehkannya membentuk kerajaan selepas PRU akan datang.

— Joel Shasitiran

Exit mobile version