Site icon Sabah Baru News

Johor ke arah Kerajaan Tanpa Tunai dengan JohorPay

JohorPay akan diperluaskan kepada sektor perniagaan, pendidikan dan bekerjasama bersama pihak swasta dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan.

JOHOR BAHRU: Johor kini ke arah Kerajaan Tanpa Tunai dengan pelaksanaan JohorPay sejak Oktober tahun lalu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) merangkap Ketua Pegawai Maklumat Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir berkata, JohorPay adalah satu platform bersepadu bagi pembayaran perkhidmatan agensi kerajaan Negeri Johor termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Katanya pada ketika ini, JohorPay menawarkan pembayaran secara dalam talian bagi urusan seperti bayaran cukai tanah, cukai harta, fi pensijilan halal Malaysia Negeri Johor, terimaan Permit 4C bagi Permohonan Bahan Batuan dan Kupon Eksport Pentadbiran Tanah Johor. 

“Namun, pada masa akan datang, JohorPay akan diperluaskan kepada sektor perniagaan, pendidikan dan bekerjasama bersama pihak swasta dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan.

“Melalui JohorPay, kerajaan dijadikan platform untuk menyampaikan perkhidmatan dan maklumat secara terus kepada rakyat. Ini menjadikan urusan dapat dilakukan dengan lebih mudah, telus, cepat dan secara masa nyata, selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadi kerajaan berpaksikan rakyat.

“Sehingga Oktober 2022, bilangan pengguna JohorPay adalah seramai 157,221 pengguna dan terjemahan terimaan adalah sebanyak RM130 juta,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini.

Jelas Mohammed Ridha, pada tahun depan, Kerajaan Negeri telah mensasarkan peningkatan sebanyak 100 peratus terimaan melalui JohorPay.

Katanya menjelang November ini, pihaknya menjangkakan JohorPay dapat menampung tambahan sepuluh lagi jenis terimaan bayaran terutamanya dalam sektor perumahan.

“Ini termasuk terimaan bayaran lot bumiputera, bayaran sijil Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ), bayaran sewa bulanan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan bayaran atau rayuan berkaitan pindah milik.

“Bagi tahun 2023, perkhidmatan lain seperti terimaan bayaran berkaitan perkhidmatan veterinar, pembelian tiket masuk ke Taman Eko Rimba dan kuarters Negeri Johor akan turut dilaksanakan.

“Kami berhasrat menjelang tahun 2025, sebanyak 70 peratus terimaan bayaran berkaitan agensi kerajaan di Negeri Johor dapat dilaksanakan melalui JohorPay,” katanya.

AWANI

Exit mobile version