Site icon Sabah Baru News

Mahkamah: Bubar parlimen, Ismail Sabri mohon batal saman pemula Charles Santiaga

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula yang difailkan penyandang Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berhubung pembubaran Parlimen.

Permohonan membatalkan saman pemula itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut dokumen yang diperoleh, defendan-defendan memohon supaya prosiding tindakan undang-undang berkenaan digantung sehingga permohonan mereka untuk membatalkannya diputuskan Mahkamah Tinggi mengikut Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) atau (b) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Permohonan untuk membatalkan saman pemula berkenaan dibuat dengan alasan bahawa ia tidak mendedahkan kausa tindakan mahu pun kausa tindakan yang munasabah ke atas mereka.

Ia adalah kerana kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam membuat pengisytiharan pembubaran Parlimen ke-14 mengikut Perkara 55(2) dan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diadili (non justiciable) dan tidak boleh dipertikaikan di mahkamah.

“Isu keesahan permintaan pembubaran Parlimen ke-14 oleh defendan Pertama kepada YDPA pada 9 Oktober lalu adalah bersifat akademik kerana YDPA telahpun memperkenankan permintaan tersebut di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) dan seterusnya membubarkan Parlimen.

“Pengisytiharan dan pembubaran Parlimen merupakan kuasa YDPA di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mana badan kehakiman selaku penjaga kepada keadilan (guardian of justice) perlu memelihara prinsip keperlembagaan ini,” kata defendan-defendan.

Pada 12 Oktober lalu, Charles menfailkan saman pemula dengan menamakan Ismail Sabri, Kerajaan Malaysia dan SPR masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Saman pemula itu adalah bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan dokumen, plaintif memohon deklarasi bahawa permintaan Ismail Sabri kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada 9 Oktober lepas untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat atau kuasa am, jemaah menteri dan oleh itu ia terbatal serta tidak sah.

KOSMO! ONLINE

Exit mobile version