MARANG, 15 Okt – PAS menangguhkan hasrat bekerjasama dengan UMNO bagi membolehkan UMNO menjernihkan kekeruhan yang timbul termasuk dibebani isu rasuah.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disebabkan ada pemimpin parti itu yang rakus mahu memerintah negara, selain adanya penerima rasuah.
“Sebelum ini, PAS termasuk BERSATU saling bekerjasama menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga terbentuk kerajaan (diterajui Perdana Menteri daripada UMNO).
“Tetapi disebabkan ada kalangan pemimpin UMNO yang ‘gelenyar’ dan tidak sabar memerintah, menyebabkan Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU-15 diadakan,” katanya ketika menyampaikan kuliah Dhuha, di Pantai Peranginan Kelulut, di sini, pada Jumaat.
Mendedahkan punca parti itu memutuskan kerjasama dengan UMNO dan BN, Abdul Hadi yang juga bekas Ahli Parlimen Marang mengakui ada didatangi individu tertentu meminta supaya kerjasama dengan UMNO diteruskan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerjasama yang bakal dijalin PAS dengan UMNO dan BN itu sama seperti ‘durian mentah’ yang boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit perut jika dimakan.
“PAS akan menolak pemberi dan penerima rasuah dalam UMNO, sama seperti PH yang ada pemberi dan penerima rasuah.
“Kegopohan UMNO untuk mendapatkan kuasa sedangkan kita minta pembubaran Parlimen ditangguhkan disebabkan ingin memberi tumpuan kepada banjir, tidak diendahkan hingga akhirnya dibubarkan juga.
“Jadi, biarlah UMNO dan BN menjernihkan dulu kekeruhan yang ada sementara kita menangguhkan kerjasama ini,” katanya.