Site icon Sabah Baru News

Penyertaan wanita dalam politik, ekonomi masih rendah – Flovia

KENINGAU: Penglibatan wanita Malaysia dalam penguasaan politik dan ekonomi  masih jauh ketinggalan berbanding lelaki, menurut  Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Flovia Ng.

Beliau berkata demikian Ketika merasmikan Kursus Asas Kepimpinan Wanita Pemimpin Akar Umbi dan Pemimpin Muda siri 5/2023 di Hotel Perkasa Keningau  hari ini.

Flovia berkata menurut Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020, skor wanita dalam sub-indeks penguasaan politik adalah yang terendah berbanding sub-indeks yang lain iaitu hanya 0.1.

“Begitu juga dengan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh (KPTB) iaitu hanya pada 55.3 peratus, kurang daripada standard 60 peratus untuk kategori negara membangun.

“Kajian itu bukan sekadar meliputi tenaga kerja yang memerlukan kudrat fizikal sahaja namun ia secara keseluruhan termasuklah bidang pekerjaan professional” katanya

Penglibatan wanita pada sektor ekonomi Malaysia masih lagi menunjukkan perbezaan dengan hanya 55.2 peratus berbanding 80.4 peratus peluang serta penyertaan yang diberikan kepada lelaki.

Menyentuh mengenai penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan pula, Flovia berkata hanya 17.2 peratus Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dalam sektor swasta disandang oleh wanita.

“Di sektor awam pula jawatan-jawatan pembuat keputusan turut dipegang seperti Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah binti Mohd Yusof, Pengarah-Pengarah di badan kerajaan mahupun agensi .

“Golongan wanita di Sabah ini ramai yang mempunyai personaliti yang baik, berpendidikan dan berketrampilan seperti Yang Berbahagia Datuk Dr. Hajah Tarsiah Haji Taman merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah dan juga Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah Puan Hajah Haslina Ismail.

“Namun begitu,ia masih jauh dalam mencapai sasaran 30 peratus wanita di sektor awam,” katanya.

Justeru Flovia berkata, selaku pemimpin wanita dalam kerajaan , beliau akan terus komited untuk  menyokong agenda-agenda pemerkasaan wanita di arena politik dan ekonomi  dengan membuka lebih banyak peluang kepada wanita serta  meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai isu ketidaksamaan yang dihadapi oleh wanita dewasa kini , ketika merasmikan di Kursus yang sedang berlansung selama dua hari tersebut.

“Agenda memperkasakan wanita merupakan tanggungjawab bersama semua dan bukan hanya dipikul oleh Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat sahaja.

“Ianya memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pemegang taruh bagi menjayakannya.

“Keperluan untuk membentuk kemahiran-kemahiran mereka melalui program latihan adalah penting terutamanya dalam pengukuhan ekonomi sebagai penyumbang dalam institusi keluarga dan kepimpinan sebagai pembentuk generasi” katanya.

Sebelum mengakhiri majlis,Flovia turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Dr. Tarsiah Haji Taman, Puan Hajah Haslina Ismail serta semua yang terlibat bagi menjayakan program kursus Asas Kepimpinan Wanita bagi kumpulan Pemimpin Akar Umbi dan Pemimpin Muda siri 5/2023 yang dihadiri seramai 65 peserta wanita dari Keningau, Pitas, Kota Belud danTambunan.

— TAMAT

Exit mobile version