TEL AVIV: Israel mula mengundurkan tenteranya dari Jenin di Tebing Barat yang diduduki, dua hari selepas melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut tentera Israel, pasukan pertama meninggalkan bandar itu pada lewat petang Selasa. Tidak dapat dipastikan berapa lama masa akan diambil untuk proses pengunduran itu.
Menurut laporan Palestin, berlaku pertempuran sengit dengan penduduk di bandar itu. Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan konvoi tentera dibaling dengan bahan letupan.
Pada Isnin, Israel dilaporkan melancarkan satu daripada operasi ketenteraan di Tebing Barat, yang disifatkan terbesar dalam tempoh beberapa dekad.
Ribuan tentera bergerak ke bandar Palestin selepas melancarkan beberapa serangan udara.
Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 100 lagi cedera.
Menurut tentera, tujuan operasi itu adalah untuk membongkar “infrastruktur pengganas”.
Beberapa markas, depot senjata, kemudahan pengeluaran senjata dan tempat persembunyian militan telah dimusnahkan.
Selain itu, 30 suspek turut ditahan.
— BERNAMA