Site icon Sabah Baru News

Rasuah di KLIA beri kesan negatif sektor pelancongan negara

KOTA KINABALU: Amalan rasuah yang membabitkan kakitangan awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dapat memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan di negara ini.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Who berkata, perbuatan rasuah akan menimbulkan imej buruk kepada negara dalam kalangan pelancong luar.

“Industri pelancongan terutamanya di Sabah sangat bergantung dengan kemasukan pelancong luar negara seperti China, Taiwan, Korea dan lain-lain.

“Ia sudah pasti akan terjejas sekiranya pelancong luar memboikot atau tidak mahu datang ke negara kita,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, tindakan menteri berkenaan yang turun padang seawal jam 3 pagi untuk menyelesaikan masalah setelah mendapat aduan di KLIA patut dipuji.

“Saya meminta semua rakyat bersabar dan menunggu siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut berharap Ahli Parlimen berkaitan mengikuti jejak menteri berkenaan yang sanggup turun padang sendiri sebaik menerima aduan rakyat.

“Menteri berkaitan yang berasal dari negeri ini juga boleh mengambil langkah yang sama untuk membuat lawatan mengejut melihat keadaan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

“Mungkin perkara ini belum berlaku di LTAKK, tetapi kita perlu mengambil langkah waspada kerana rasuah boleh berlaku dimana-mana sahaja,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version