Site icon Sabah Baru News

HAWA laksanakan pendekatan proaktif bela nasib rakyat

KOTA KINABALU: Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) bertekad untuk melaksanakan pendekatan proaktif dalam membela dan memperjuangkan nasib rakyat.

Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata bagi mendakap perubahan itu, HAWA perlu melakukan anjakan paradigma untuk menjadi penghubung yang menyatukan suara masyarakat awam.

Sehubungan itu, katanya, program yang dilaksanakan menjurus kepada sembilan fokus utama bagi memastikan HAWA dapat membantu kerajaan membawa perubahan dan kemajuan kepada rakyat keseluruhannya.

“HAWA mempunyai kelainan tersendiri, merentasi ideologi politik, pelbagai kaum dan kita bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berbagai latar belakang.

“Yang indahnya, komposisi perjuangan kita merangkumi golongan lelaki walaupun pengasasnya diberi kepada wanita,” katanya kepada media pada Majlis Santai Bersama HAWA di sini malam semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi HAWA, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Pengerusi HAWA Sabah Hajah Aminah Johan, Ketua Wanita BN Sabah Senator Datuk Noraini Idris dan Timbalan Pengerusi Penjanaan Ekonomi HAWA Kebangsaan Datuk Rahmajan Sulaiman Khan selaku pengerusi hos dan pengerusi penganjur.

Shahrizat berkata HAWA komited melaksanakan pendekatan secara proaktif bagi memastikan kemajuan dan kesaksamaan untuk semua melangkaui sempadan politik kepartian.

“Kita tidak boleh lagi dilihat berjuang untuk sesama kita sahaja..kita mungkin akan ketinggalan di belakang.

“Sebab itu, HAWA bertekad membuka penyertaan bukan sahaja di kalangan wanita, tetapi juga kaum bapa..kita menghormati kepelbagaian kaum dan agama,” katanya.

Shahrizat berkata perubahan yang berlaku dalam politik negara menuntut pendekatan yang berbeza sesuai dengan tuntutan semasa.

“Inilah politik masa depan yang HAWA ingin ketengahkan. Kita mahu mendekati semua NGO dan pihak berkepentingan dan dari situ kita kutip semua keluhan rakyat untuk kita bawa ke perhatian kerajaan,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version