Site icon Sabah Baru News

Gabungan PBS, STAR setakat ini hanya sekadar cadangan: Joachim

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menerima baik hasrat yang disuarakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk kedua-dua parti bergabung.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam bagaimanapun berkata setakat ni perkara itu dianggap hanya sekadar cadangan.

Beliau yang juga Pengerusi Task Force PBS berkata tiada perbincangan rasmi di antara kedua-dua pihak bagi tujuan itu (bergabung) setakat ini

“Cerita bergabung ini adalah bersifat ‘premature to discuss’ iaitu perbincangan pramatang disebabkan tidak ada atau belum ada jawatankuasa rasmi yang dibentuk bagi membincangkan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Joachim memberi respons kepada kenyataan Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang mengatakan STAR bersedia bergabung dengan PBS bagi mengukuhkan parti pelbagai kaum berasaskan Kadazan Dusun Murut (KDM) sebelum Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dua tahun lagi.

Joachim bagaimanapun berkata PBS sememangnya sudah bekerjasama dengan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang mana PBS dan STAR adalah antara ahli gabungan terbabit.

“Kerjasama ini akan diteruskan dan diperkukuh menjelang PRN ke-17 depan,” katanya.

Menurutnya PBS sudah bertapak di negeri ini sejak 38 tahun yang lalu dan gabungan ini perlu mendapat persetujuan semua ahli PBS melalui Persidangan Tahunan (kongres).

— Vivi Olviana Najurus

Exit mobile version