Site icon Sabah Baru News

Kerajaan negeri menghargai sokongan berterusan komuniti Cina – Hajiji

TUARAN: Sokongan berterusan dari kalangan komuniti Cina dan berdiri seiring dengan kerajaan negeri dalam setiap kemajuan pembangunan sangat dihargai.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa menjaga kepentingan semua komuniti, termasuk masyarakat Cina di Sabah.

“Kerajaan negeri menyokong banyak program dianjurkan persatuan Cina khususnya dalam sektor kebudayaan, perniagaan, kebajikan dan pendidikan melalui sokongan kewangan serta persahabatan.

“Dengan sokongan padu rakyat, kerajaan negeri kini berada dalam landasan tepat pembangunan dibawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Ia dapat dibuktikan apabila kita berjaya menjana RM7 bilion pendapatan negeri. Bagaimanapun, kesemua rancangan serta kejayaan dicapai hanya boleh berjaya sekiranya wujud persekitaran yang kondusif untuk memperkasakan pembangunan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Larian Obor Tuaran sempena Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-38 di sini, hari ini. 

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

Hajiji berkata, untuk mencapai kemajuan, adalah penting Sabah mempunyai kestabilan politik dan menolak segala anasir yang boleh memecah belah masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berhenti dan akan terus membawa lebih banyak pelaburan ke Sabah agar mampu mencipta lebih banyak limpahan ekonomi.

Dalam pada itu, larian obor mempunyai makna mendalam kerana ia mengumpulkan komuniti Cina untuk memperkenalkan kebudayaan serta kekayaan warisan masyarakat mereka kepada umum.
 
“Api dari obor ini akan melahirkan perasaan baik dan menyatupadukan rakyat dari semua bangsa serta latar belakang untuk tujuan positif, sekali gus menyebarkan kesedaran kebudayaan.

“Rakyat Sabah tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan kepercayaan sudah lama hidup dalam keharmonian, hormat perbezaan yang ada dan pada masa sama memelihara identiti kebudayaan masing-masing.

— Yap Siong Han

Exit mobile version