Site icon Sabah Baru News

Ambil peluang disediakan Pertubuhan Peladang Negeri Sabah – Shahelmey 

PUTATAN: Ahli Pertubuhan Peladang Negeri Sabah perlu mengambil peluang seterusnya menyahut cabaran agar lebih berjaya dalam bidang perniagaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya berkata, pertubuhan itu kini menyediakan pelbagai peluang perniagaan kepada para ahlinya termasuklah mewujudkan kemudahan-kemudahan yang baik.

“Putatan mempunyai kelebihan dari segi kepadatan penduduk yang ramai. Ini bermakna permintaan bekalan makanan semestinya juga tinggi. 

“Oleh sebab itu, Pertubuhan Peladang memainkan peranan penting sebagai pemain industri makanan dalam memastikan bahawa bekalan makanan untuk rakyat yang tinggal di sini mencukupi,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-8 Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan 2023 di sini, hari ini.

Oleh sebab itu katanya, kerajaan negeri telah memberikan kawasan tanah seluas satu ekar di Kg Meruntum Putatan.

“Saya dimaklumkan Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan memohon peruntukan pembangunan RM500,000 kepada Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sabah bagi membina Pusat Peladang Outlet dimana hasil-hasil pertanian dari dalam daerah dan luar Putatan dapat diletakkan di satu tempat untuk dipasarkan pada harga murah serta berpatutan. 

“Ini bertujuan supaya rakyat mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi, saya mohon agar pihak Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sabah dapat meluluskan peruntukan projek ini.

“Selain itu juga, dengan adanya projek ini maka ahli-ahli peladang dapat peluang untuk berniaga dengan menjual produk-produk makanan di Pusat ini,” katanya.

Beliau berharap dengan kawasan yang telah diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan, pembangunan sosio-ekonomi dapat diwujudkan seperti peluang pekerjaan dan perniagaan.

Katanya, peluang berkenaan secara tidak langsung dapat menyumbang peningkatan ekonomi di Putatan.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan, Datuk Seri Dr Arsit Sedi.

— Yap Siong Han

Exit mobile version