Site icon Sabah Baru News

Tun Faisal sah ahli Bersatu

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, yang dipecat daripada parti itu pada Januari lalu, mengesahkan menyertai BERSATU, hari ini.

Tun Faisal berkata, beliau dijangka menerima watikah keahlian daripada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban, malam ini.

Tun Faisal yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, berkata beliau memilih menyertai BERSATU selepas mengambil kira peranan yang boleh dimainkannya dalam parti itu berbanding PAS.

“Saya ialah orang yang percaya kepada jemaah atau bekerja dalam organisasi, jadi saya perlu berada dalam satu-satu organisasi untuk membantu perjuangan yang saya percaya.

“Sebenarnya bagi saya, PAS atau BERSATU, sama saja kerana kedua-duanya berada di bawah PN. Bagaimanapun, melihat kepada aspek di Putrajaya, tempat yang saya sudah biasa, Ahli Parlimennya ialah daripada BERSATU (Datuk Dr Radzi Jidin).

“Jadi, saya percaya boleh memainkan lebih banyak peranan dalam BERSATU berbanding PAS, terutama dalam memberikan input berkaitan isu tempatan dan pada masa sama, memperkukuh BERSATU di kawasan ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Tun Faisal dipecat daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada Januari lalu selepas diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Tindakan itu diambil selepas Tun Faisal yang lantang mengkritik kepemimpinan UMNO, dikatakan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.

Ditanya sama ada ramai lagi bekas ahli UMNO atau ahli UMNO yang akan mengikut jejak langkahnya, Tun Faisal yang berada lebih 20 tahun dalam politik, berkata sebahagian daripada mereka menunggu masa yang sesuai.

“Ramai yang mahu beralih arah, cuma mereka menunggu siapa yang nak pergi dulu.

“Ada yang masih berhasrat untuk kekal dalam UMNO, cuma tidak penyokong Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan menunggu masa untuk menggantikannya,” katanya.

Beliau turut mendakwa, UMNO kini bukan lagi parti yang memperjuangkan bangsa, agama dan tanah air, tetapi lebih kepada menjaga kepentingan individu dan selagi UMNO dipimpin Ahmad Zahid, parti itu akan ditolak rakyat.

—  Zanariah Abd Mutalib

Exit mobile version