Site icon Sabah Baru News

Pendidikan, kesedaran masyarakat penting cegah penyakit Talasemia – Flovia

TENOM: Masyarakat perlu diberikan pendidikan mengenai kesedaran terhadap penyakit Talasemia supaya kejadian ini dapat dicegah daripada awal.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Flovia Ng berkata, pendidikan adalah intervensi berkesan untuk menangani kejadian tersebut daripada terus berlaku.


Katanya, kesedaran mengenai Talasemia dilihat masih tidak memuaskan dalam kalangan masyarakat ketika ini terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman dimana kebanyakan kejadian tersebut dilaporkan.


“Komuniti termasuk ibu bapa perlu memainkan peranan dalam perkara ini dan mereka perlu diberi pengetahuan mengenai penyakit genetik, khususnya Talasemia.


“Untuk generasi muda khususnya yang berhasrat mendirikan rumahtangga adalah disarankan untuk menjalankan saringan sebelum berkahwin bagi memitigasikan kejadian ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Talasemia Peringkat Pedalaman Sabah, di sini, pada Sabtu. Turut hadir, Pengerusi Penganjur, Dr Ng Yoong Lin.

Menurutnya, laporan pendaftaran Talasemia Malaysia pada November 2018, negara kita mempunyai sebanyak 7,984 pesakit Talasemia.


“Sabah mencatat jumlah tertinggi kejadian Talasemia diseluruh negara dengan jumlah 1,814 kes, iaitu lebih 20 peratus dari jumlah pesakit seluruh negara.


“Negeri ini juga mencatatkan kelahiran bayi baru berpenyakit Talasemia serius yang tertinggi di Malaysia dari tahun 2011 hingga 2018 iaitu seramai 300 orang bayi dilaporkan,” katanya.

Flovia berkata, beban kos rawatan bagi seorang pesakit talasemia pula boleh mencecah RM3 juta untuk seumur hidup.
“Ia sangat membebankan kepada keluarga pesakit tanpa sebarang intervensi memandangkan kebanyakan mereka adalah daripada golongan B40,” katanya.

Justeru, katanya, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Talasemia Sabah yang berperanan menangani masalah ini dengan menganjurkan program kesedaran adalah sangat terpuji.


“Saya merakamkan penghargaan dan mengucapkan syabas dengan usaha murni mereka yang tidak pernah tahu penat lelah dalam membela kebajikan pesakit-pesakit Talasemia di Sabah.


“Kita mengharapkan semua pihak termasuk individu, korporat, agensi kerajaan dan swasta dapat memberikan sumbangan serta kerjasama terhadap semua program yang dianjurkan Persatuan Talasemia Sabah,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version