Site icon Sabah Baru News

Selebriti calon PRU-15?

AHMAD Idham dan Hans Isaac

Kuala Lumpur: Berbekalkan bakat dan pengaruh, golongan selebriti pastinya antara yang bakal menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Selebriti dengan ideologi politik masing-masing, tidak ketinggalan menonjolkan diri menjadi suara rakyat berdasarkan kelebihan yang ada pada mereka sebagai calon kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertaruhkan.

Mereka yang bergiat aktif dalam politik dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Datuk Hans Isaac, Shahrol Shiro, Zed Zaidi, Datin Anne Ngasri, Dira Abu Zahar, Afdlin Shauki, Datuk Adi Putra, Datuk Fizz Fairus dan Datin Seri Zizie Ezette.

Ahmad Idham yang juga penerbit dan pengarah terkenal yang baru dilantik menjadi Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan berkata, dia menyerahkan kepada pucuk pimpinan soal menjadi calon pada PRU-15.

Ahmad Idham berkata, dia juga tidak tahu-menahu sama ada namanya dicadangkan atau disebut-sebut gabungan itu.

“Menjadi calon PRU bagi saya terserah kepada pucuk pimpinan gabungan. Saya pun baru tahu jika perkara ini ada ditimbulkan, berderau juga baca. Sebab setakat ini tidak ada pula saya dipanggil lagi.

“Kalau ada pun, mungkin hasrat daripada Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim yang memang tahu gerak kerja Hab Pendidikan Khas yang saya asas dan gerakkan di Port Dickson melalui Pertubuhan Briged Prihatin memberi impak di mata masyarakat.

“Dia yang bergerak dengan orang tempatan, jadi dia tahu. Apa yang membuatkan saya gembira apabila kerja saya ini orang bercakap ke arah positif,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurut Ahmad Idham, dia terbuka dan tidak ada masalah jika cadangan menamakannya dirinya sebagai calon dibuat.

Hans yang juga pelakon dan pengarah terkenal pula mengakui bersedia serta bersikap terbuka untuk bertanding di mana-mana kerusi pada PRU-15.

“Terpulang kepada pucuk pimpinan dan masyarakat. Saya hanya ikut arahan saja. Siapa tidak mahu tanggungjawab itu? Kami masuk dalam politik ini pun adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Kalau tanggungjawab itu diberi, saya rasa tiada isu untuk saya galas amanah yang diberi. Apa-apa pun, kena tunggu hingga penamaan calon.” kata Hans yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Februari tahun lalu.

Menurut bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ini, jika bukan rezekinya untuk bertanding pada PRU-15, beliau berharap calon terpilih dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Julai lalu, Hans yang bertanding dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Ampang tewas dalam kiraan semula kepada pesaingnya yang juga penyanyi rap, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad.

Bagaimanapun, pada Kongres Nasional PKR 2022, Hans dipilih menduduki 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang baharu melalui proses undian.

Bagi Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 38, dia mengakui memerlukan banyak masa untuk menimba pengalaman sebelum meluaskan karier politiknya ke peringkat lebih tinggi.

“Sejujurnya, saya sendiri masih dalam peringkat pembelajaran. Sebelum beralih ke fasa yang lebih tinggi, biarlah kita bertatih dari bawah.

“Justeru, biarlah persediaan itu dilakukan secara berperingkat dan dimulakan di peringkat daerah sebelum memegang tampuk kepimpinan yang lebih tinggi,” kata pelakon Ustaz Mu Tunggu Aku Datang dan Satu Malam Kubur Berasap 2.

Shahrol bagaimanapun tidak menolak jika ada permintaan untuknya bertanding dalam mana-mana kerusi pada PRU-15.

hmetro

Exit mobile version