Site icon Sabah Baru News

Bersatu tak pernah tolak bentuk negara masyarakat majmuk

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah menolak pembentukan negara berasaskan masyarakat majmuk.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, perkara itu menjadi pegangan parti itu kerana negara ini wujud dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama.

“Kita tidak pernah tolak asas negara ini kerana pemimpin yang ada sekarang berada dalam parti sebelumnya iaitu UMNO.

“Bersatu adalah pengganti UMNO yang membawa mandat rakyat terutama orang Melayu dan Islam,” katanya pada Wacana siri ke 405 ‘PRN: Banyak isu belum selesai?’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, RSN Rayer; Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dengan program dihoskan oleh Ismail Adnan.

Mohd Yadzil turut menegaskan bahawa Bersatu tidak pernah menolak perpaduan tetapi mahu bentuk kerajaan bersih dan membawa suara Melayu.

“Kami masih tetap meneruskan kempen ‘No Anwar, No DAP’ serta menolak prinsip yang dibawa oleh DAP, sebab itu kami menolak Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang.

“Kami memilih untuk menjadi pembangkang dan membawa suara rakyat yang lebih baik,” jelasnya.

Exit mobile version