Site icon Sabah Baru News

Pulau Pinang dilanda banjir kilat

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Georgetown: Puluhan rumah di beberapa kawasan di bahagian pulau, Pulau Pinang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat melanda negeri itu tengah malam tadi namun setakat ini tiada pusat pemindahan banjir (PPS) yang dibuka.

Hujan lebat melanda Pulau Pinang sejak 10 malam tadi sebelum berhenti kira-kira dua jam kemudian dan hujan kembali lebat pada 3 pagi hingga 10 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Phee Boon Poh berkata, pihaknya menerima maklumat puluhan rumah di kawasan Batu Maung, Bayan Lepas dan Georgetown dinaiki air namun tiada penduduk yang dipindahkan.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima kebanyakan rumah yang dinaiki air kira-kira 30 hingga 50 sentimeter dan ketika ini Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan terbabit telah turun padang untuk memantau serta memberi bantuan kepada penduduk.

“Sehingga 10 pagi ini, kebanyakan air di kawasan yang dilanda banjir kilat telah surut dan kita bernasib baik kerana semua rumah pam di lokasi terbabit beroperasi dengan baik,” katanya ketika dihubungi, di sini hari.

Phee berkata, ketika ini kerajaan negeri juga sedang memantau cuaca di seluruh Pulau Pinang terutama lokasi yang berpotensi berlaku banjir kilat.

“Daripada segi kesiapsiagaan, semua pihak telah bersiap sedia jika berlaku banjir atau banjir kilat di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, penduduk di Kampung Naran, Batu Maung, Mohd Razak Abdul Hashim, 42, berkata, hujan lebat di kawasannya sejak 10 malam namun air mula naik di kediamannya selepas hujan lebat semula kira-kira 3.30 pagi.

“Ketika itu, kami sedang tidur dan isteri kejut kata air masuk dalam rumah, saya terus bangun dan angkat barang-barang elektrik ke tempat tinggi..air naik dengan cepat sebab hujan lebat, tapi dalam 9 pagi air telah surut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Di Kangar, tiga kawasan di Kampung Sentua, Kampung Seriab dan Kampung Bakau dinaiki air akibat hujan lebat yang melanda Perlis sejak semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Perlis berkata APM Perlis telah melakukan pemantauan di kawasan ‘hotspot’ dan sungai yang berada pada tahap ‘kuning’ (status berjaga-jaga) di sekitar Perlis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan dan kecemasan boleh hubungi talian 04 977 7991 / 04 977 8991(Mers APM Perlis / kecemasan) atau 04 976 0991 (Bilik gerakan Pengurusan Bencana APM Perlis),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tinjauan Bernama di Titi Chai, Kangar mendapati air naik paras buku lali dan orang ramai telah mula memindahkan barang berharga di tempat tinggi.

Difahamkan belum ada Pusat Pemindahan Banjir (PPS) dibuka setakat ini.

hmetro

Exit mobile version