Site icon Sabah Baru News

LIGS agih 1.44 juta sulur nanas MD2 kepada 598 peserta AET

KENINGAU: Lembaga Perindustrian Getah Sabah (LIGS) mengagihkan 1.44 juta sulur nanas MD2 kepada seramai 598 peserta Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dengan jumlah peruntukan RM5.6 juta setakat tahun ini, kata Pengerusinya, Datuk Edward Linggu di sini.

Beliau berkata LIGS komited untuk memajukan lagi industri nanas MD2 di Sabah dengan menyasarkan untuk mencapai jumlah penanaman sulur sebanyak 2.5 juta menjelang 2025.

“Matlamat ini telah pun diterjemahkan melalui projek AET yang sedang dilaksanakan LIGS,” katanya pada majlis penyerahan bantuan sulur nanas MD2 untuk projek AET tahun ini di Tapak Semaian Getah LIGS Pamalan di sini pada Khamis.

Katanya, program AET ini terdiri daripada beberapa jenis bidang perniagaan yang berpotensi memberi pulangan yang ketara kepada peserta terbabit.

Menurutnya, pada 2021 projek AET ini akan terus dibangunkan dengan bidang perniagaan baharu iaitu tanaman nanas MD2, di mana LIGS telah melaksanakan projek ini melibatkan seramai 212 peserta dan seterusnya pada tahun 2022 seramai 305 peserta.

“Saya difahamkan projek AET nanas MD2 yang ditanam pada 2021 telah mula mengeluarkan hasil dan setakat 12 Julai tahun ini, jumlah pengeluaran buah nanas MD2 adalah sekitar 65 tan dengan nilai belian ladang RM150,000 dan ia akan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

“Saya juga sedia maklum bahawa terdapat sebilangan usahawan nanas MD2, di bawah bimbingan LIGS yang mencapai tahap pendapatan yang memberangsangkan dan terdapat tiga peserta dari daerah Keningau dan Tenom telah dipilih sebagai usahawan contoh dengan pendapatan sekitar        RM3,000 hingga RM6,000 semusim,” katanya.

Edward berkata, usahawan terpilih ini diberi peluang menerima bantuan dari segi peralatan dengan harapan peserta ini dapat memperbanyak dan mengembangkan penanaman nanas MD2 pada masa akan datang.Beliau berharap peserta yang terpilih ini dapat mengambil peluang ini sebaik mungkin agar dapat bersama-sama memajukan industri nanas di Sabah dan menjadi antara pengeluar nanas MD2 yang terulung pada masa hadapan.

Pada majlis itu, Edward menyerahkan sulur nanas kepada sepuluh peserta masing-masing dari Keningau dan Tenom. Ini adalah sebagai Pengenalan Projek AET nanas MD2 tahun ini di mana setiap peserta LIGS menerima 5,000 sulur setiap seorang.Pada masa sama, Edward turut menyerahkan bantuan peralatan kepada tiga peserta yang telah berjaya menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM6,000 setiap musim.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah LIGS, Charles Ikang, Timbalan Pengurus Besar LIGS Sabah (Bahagian Pemprosesan dan Pemasaran), Alexsius Modiun, Penolong Pengurus Besar LIGS Sabah (Bahagian Pemprosesan dan Pemasaran), Chia Ching Lian, Pegawai AET Wilayah, Herman Ronie, Pegawai Wilayah Pedalaman, Richard Wong Sin Tien, Pegawai Wilayah Pantai Barat, Haji Syarifuddin Leslying, pegawai-pegawai penguasa dan kakitangan LIGS.

— Johan Aziz

Exit mobile version