Site icon Sabah Baru News

GRS, BERSATU Kota Marudu kekal utuh

KOTA MARUDU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Marudu kekal kukuh walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau Datuk Wetrom Bahanda meninggalkan parti itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sebagai pemimpin BERSATU Sabah, beliau ingin menjelaskan bahawa walaupun Ketua Bahagian Kota Marudu meninggalkan parti berkenaan, tetapi BERSATU tetap akan kekal di kawasan itu.

“Kita akan terus memberikan sokongan kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili untuk Kerusi Kota Marudu,” katanya ketika dalam Jelajah GRS Kota Marudu di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau Datuk Wetrom Bahanda

Hajiji berkata, jangan membuat kesilapan dalam politik kerana Parti Warisan (WARISAN) difahamkan sedang ‘memancing’ ketika pilihan raya.


“Kita tahu tujuan mereka…cakap tidak serupa bikin. Mereka hanya bercakap, apa yang mereka telah lakukan dalam tempoh dua tahun memerintah di Sabah.

“Mereka tiada hala tuju, selain hanya berpolitik sahaja tanpa memikirkan kepentingan rakyat berbilang kaum di Sabah,” katanya.

Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Panglima Shafie Apdal

Hajiji berkata, kepimpinan Maximus dari Parti Bersatu Sabah (PBS) masih releven dalam kalangan rakyat di sini.

“Beliau telah melakukan banyak kemajuan kepada Kota Marudu, walaupun wujud sesetengah pihak khususnya pembangkang yang menyatakan tiada pembangunan di sini, ini adalah tidak benar, ia adalah penipuan semata-mata.

“Kita boleh melihat sendiri Kota Marudu sudah mengalami transformasi positif sejak beliau (Maximus) menjadi Ahli Parlimen di sini dan sebagai Menteri di persekutuan,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Dr Maximus adalah seorang pemimpin yang sangat dihormati di peringkat persekutuan kerana beliau sentiasa memperjuangkan hak untuk Sabah dari awal sehingga kini sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), beliau konsisten dengan perjuangan dalam Majlis Khas MA63.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, GRS adalah platform menyatupadukan semua parti tempatan yang mewakili pelbagai bangsa di negeri ini agar kerajaan persekutuan akan mendengar suara pemimpin Sabah.

“Saya berharap rakyat akan memahami asas pembentukan GRS, kita tidak boleh mengulangi kesilapan pada masa lalu, kita senang berpecah dan gagal untuk mendapatkan hak kita disebabkan kita tidak bersatu.
 
“Cukuplah, kita tidak perlu lagi berlawan,” katanya.

Katanya, beliau juga telah bertemu dengan Premier Sarawak baru-baru ini yang mana wujud persefahaman bersama bahawa Sabah dan Sarawak perlu menjadi satu suara dalam negara ini.

Katanya, sepanjang dua tahun lepas, kerajaan negeri telah mencapai banyak kejayaan. 

“Inilah kita mahukan, sekiranya kita bersatu, kita akan berjaya mendapatnya,” katanya sambil menambah beberapa kejayaan dicapai dari segi Sabah menerima lebih banyak kepentingan dari sumber gas dan minyak Petronas.

Katanya, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat mengenai ekuiti Sabah dalam projek Petronas di Sabah.

Yap Siong Han

Exit mobile version